Pemegang Kad Orang Kelainan Upaya (OKU) kini disarankan untuk menukar kad lama kepada Kad OKU baharu yang direka khas dengan ciri keselamatan terkini dan lebih mesra pengguna. Cara mohon kad OKU ini juga tidak sukar kerana boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah.
Inisiatif ini diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan setiap individu OKU dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dalam urusan harian serta pengesahan rasmi.
Baca juga: Mak Ayah Ada Anak OKU Layak Mohon Road Tax Percuma, Ini Caranya
CARA MOHON KAD OKU BAHARU, LEBIH MUDAH ADA SISTEM QR

Menurut perkongsian Jabatan Kebajikan Masyarakat di laman Instagram, anda digalakkan untuk menukar Kad OKU lama anda kepada Kad OKU baharu yang kini hadir dengan reka bentuk lebih moden, mesra pengguna, dan selamat!
Kenapa anda perlu tukar kepada Kad OKU baharu?
1. Reka bentuk baharu yang lebih praktikal : Kad baharu ini direka khas untuk kegunaan harian yang lebih mudah dan selesa.
2. Ciri keselamatan yang dipertingkatkan : Menggunakan teknologi terkini bagi melindungi maklumat peribadi anda dan mengelakkan penyalahgunaan.
3. Mesra untuk urusan rasmi : Lebih mudah digunakan untuk tujuan pengesahan dan pengurusan dokumen dengan agensi kerajaan atau swasta.
Sebab-Sebab Penukaran Kad OKU
Penukaran kad boleh dilakukan atas sebab-sebab berikut:
– Kad rosak atau hilang
– Perubahan alamat (Pastikan alamat dalam MyKad dikemas kini terlebih dahulu)
– Kemaskini subkategori pembelajaran bagi OKU pembelajaran yang telah dinyatakan subkategori dalam SMOKU atau laporan bertulis .
Nota: Penggantian kad tidak memerlukan pengesahan daripada Pegawai Perubatan.
Cara Tukar Kad OKU
1. Secara Dalam Talian (Online)
– Layari laman web rasmi JKM: https://oku.jkm.gov.my/gantian_kad
– Log masuk ke akaun MyDaftarOKU anda.
– Isi borang permohonan gantian kad.
– Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan.
2. Secara Fizikal di Pejabat JKM
– Kunjungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran.
– Bawa dokumen berikut:
Kad OKU lama (jika ada)
MyKad/MyKid asal
Salinan dokumen sokongan (jika berkaitan)
*Maklumat Tambahan
– Untuk semakan status permohonan atau maklumat lanjut, layari: https://oku.jkm.gov.my/semakan_oku
– Jika anda belum berdaftar sebagai OKU, anda boleh mendaftar melalui portal MyDaftarOKU: https://oku.jkm.gov.my/myDaftarOku
Baca juga: Berjalan Guna Tangan Pakai Selipar, Netizen Sebak Tengok Semangat Berdikari Murid OKU Pergi Sekolah
Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat
