Tular di media sosial perkongsian menyayat hati seorang ibu yang meluahkan rasa kecewa apabila anaknya, seorang individu kelainan upaya (OKU) Sindrom Down, ditegur oleh pengawal keselamatan di pusat beli-belah Suria KLCC hanya kerana duduk mencangkung!
Situasi itu terjadi sementara keluarga ini sedang menunggu giliran masuk ke Petrosains.
ANAK OKU DITEGUR PENGAWAL KESELAMATAN HANYA KERANA MENCANGKUNG?

Menurut perkongsian wanita bernama Nur Arlia, di laman Facebook miliknya, insiden tersebut berlaku di hadapan pintu masuk Petrosains. Katanya, pengawal keselamatan terbabit bukan sahaja menegur, malah sempat mencuit siku anaknya walaupun beliau telah menjelaskan terlebih dahulu bahawa anaknya merupakan OKU.
“Pak guard datang dan tegur, katanya tak boleh duduk mencangkung. Saya dah maklumkan anak saya OKU, cuma tengah tunggu giliran nak masuk Petrosains,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Nur Arlia meluahkan rasa kesal atas tindakan yang dianggap tidak sensitif itu dan menegaskan bahawa lokasi seperti Petrosains seharusnya lebih memahami serta mesra terhadap keperluan pengunjung istimewa.
Netizen Kecam Sikap Pengawal, Desak Tindakan Lanjut

Foto: freepik
Hantaran tersebut lantas menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata mengecam tindakan pengawal keselamatan itu. Ramai menyifatkannya tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap golongan OKU.
Ada yang menyarankan agar ibu berkenaan membuat aduan rasmi kepada pihak pengurusan Suria KLCC atau Petrosains supaya siasatan dapat dijalankan, manakala sebahagian lain meluahkan rasa simpati terhadap keluarga terbabit.
Tidak kurang juga yang menggunakan tanda pagar seperti #PetrosainsKLCC dan #GuardPetrosainsKLCCTakMesraOKU bagi mendesak penjelasan serta tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa pusat beli-belah itu.
Kejadian ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap hak dan layanan wajar kepada golongan OKU di tempat awam. Banyak pihak berpendapat bahawa latihan serta pendidikan berkaitan empati dan inklusiviti perlu dipertingkatkan, terutamanya bagi individu yang bekerja di barisan hadapan dan berinteraksi terus dengan orang ramai.
Baca juga: Budak 4 Tahun Maut Tertinggal Dalam Kereta Lebih 3 Jam, Mak Ayah Tak Sedar Lepas Keluar Sarapan..
Sumber: Nur Arlia
