Cabaran jaga anak autism bukan sekadar memerlukan kesabaran luar biasa, tetapi juga ketahanan mental dan fizikal yang berpanjangan.
Bagi sesetengah ibu bapa, tugas ini boleh disamakan seperti menjaga ibu bapa yang menghidap Alzheimer atau demensia kerana tahap kesukarannya hampir sama, cuma tempohnya jauh lebih panjang.
CABARAN JAGA ANAK AUTISM, BUKAN SEKADAR PENAT FIZIKAL
Bezanya, bagi anak-anak autism, ibu bapa perlu berhadapan dengan keadaan ini sepanjang hayat anak tersebut. Dari kecil hingga dewasa, tanggungjawab itu tidak pernah berhenti. Mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan pelbagai ragam anak, malah perlu memahami dunia anak yang sering berbeza daripada kanak-kanak lain.
Antara cabaran besar yang sering dihadapi adalah anak yang kerap melarikan diri. Bukan hilang, tetapi benar-benar lari. Anak-anak ini biasanya akan menjauh bila dikejar, dan keadaan sebegitu bukan sahaja mencemaskan, malah boleh mendatangkan bahaya jika berlaku di luar rumah.
Selain itu, tantrum dan meltdown juga menjadi situasi harian bagi kebanyakan ibu bapa yang menjaga anak autism. Anak mungkin menjerit, memukul, mencakar, atau menangis tanpa henti. Kadang-kadang waktu tidur pun tidak menentu, ada yang berjaga sepanjang malam tanpa sebab yang jelas.
Dari segi kewangan pula, cabaran mereka jauh lebih besar. Kos terapi untuk anak autism boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap sesi.
“Pernah doktor pakar beritahu, ‘puan kena hantar terapi anak autism ni seumur hidup’,” kongsi seorang ibu.
Ramai anak autism mempunyai masalah sensori dan pemilihan makanan yang sangat terhad. Ada yang sanggup tidak makan berhari-hari jika makanan tidak sesuai dengan tekstur atau rasa yang mereka boleh terima.
Sebaliknya, ada juga yang makan tanpa henti kerana makanan memberi rasa selesa kepada mereka dan bila makanan tiada, mereka akan mengamuk.

Disebabkan itulah, menurut perkongsian Safura Zakaria, perkara paling penting bagi penjaga adalah mengawal minda sebelum emosi.
“Mak ayah kena belajar kawal otak dulu, baru kawal emosi. Kalau emosi di depan, memang boleh hilang kewarasan. Tangan laju je angkat,” katanya.
Safura turut menegaskan, apabila penjaga gagal mengawal emosi, mereka mudah hilang sabar, penat secara mental dan akhirnya hilang rasa kasih terhadap anak sendiri.
Hakikatnya, menjaga anak autism bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang ketabahan yang konsisten. Ia adalah perjalanan panjang yang memerlukan ilmu, empati dan sokongan berterusan.
Bagi ibu bapa di luar sana yang sedang melalui perjuangan ini, percayalah anda tidak bersendirian. Setiap usaha kecil yang dilakukan untuk memahami dan membantu anak adalah langkah besar menuju kehidupan yang lebih baik untuk mereka.
Sumber: Facebook
