Euforia Bola 2026
Rakyat

Ibu Muda Gigih Hantar Makanan Sambil Bonceng Tiga Anak Kecil Demi Rezeki RM30, Kisah Buat Ramai Sebak

ibu muda penghantar makanan

Tidak semua perjuangan seorang ibu dapat dilihat di mata orang lain. Bagi ibu muda penghantar makanan bernama Noryani Syakira Yaakob, 23 tahun, setiap hari adalah pertarungan antara kasih sayang dan keperitan hidup.

Menunggang motosikal sambil membonceng tiga anak kecil, termasuk seorang bayi berusia 10 bulan, demi mencari rezeki buat keluarga bukanlah perkara yang mudah.

Baca juga: Pemohon STR 2026 Wajib Daftar Akaun Baharu Walaupun Pernah Mohon Dulu, Ini Caranya Supaya Tak Terlepas!

IBU MUDA PENGHANTAR MAKANAN TULAR, BONCENG 3 ANAK SAMBIL CARI REZEKI BUAT RAMAI SEBAK

ibu muda penghantar makanan

Kisahnya menjadi tular sejak semalam selepas video dirinya menghantar makanan sambil membawa anak-anak mencuri perhatian ramai di media sosial.

Namun, di sebalik tular itu, Noryani menjelaskan tindakannya bukan untuk meraih simpati atau perhatian, sebaliknya kerana desakan hidup.

“Saya bukan nak menunjuk. Saya cuma nak bantu suami. Pendapatan dia kerja bengkel cuma RM1,200 sebulan. Jadi saya cuba bantu dengan apa yang termampu,” ujarnya.

Menurut Noryani, dia tiada pilihan selain membawa anak-anak bersama setiap kali keluar menghantar pesanan makanan.

“Tiada siapa nak jaga anak-anak di rumah. Dalam sehari, dapatlah RM20 hingga RM30 selepas tolak minyak. Saya tetap bersyukur sebab sekurang-kurangnya boleh beli susu, lampin dan bayar sewa rumah RM350 sebulan,” katanya yang menetap di Bukit Lintang, Melaka.

Anak-anaknya masing-masing berusia lima tahun, dua tahun dan seorang bayi berusia 10 bulan.

PERNAH JADI PEMBANTU JUALAN AYAM GUNTING

ibu muda penghantar makanan

Sebelum ini, Noryani pernah bekerja sebagai pembantu jualan ayam gunting, namun terpaksa berhenti kerana sukar menguruskan anak-anak kecil. Kini, sudah dua bulan dia bekerja sebagai penghantar makanan, bermula seawal 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari.

“Setiap pagi lepas hantar anak sulung ke tadika di Bukit Katil, saya terus buat penghantaran. Kadang saya hantar nasi goreng ke Hospital Melaka dengan upah RM5. Tak banyak, tapi cukuplah buat tampung keperluan harian,” ceritanya.

Walaupun menerima pelbagai kecaman daripada segelintir netizen yang mendakwa tindakannya membahayakan nyawa anak-anak, ramai juga yang tersentuh dan menzahirkan rasa simpati terhadap nasib keluarga kecil ini.

“Saya tahu risiko tu ada, sebab tu saya hanya keluar bila cuaca baik. Keselamatan anak-anak tetap saya utamakan,” tambahnya lagi.

Di sebalik penat dan cabaran, semangat ibu muda ini jelas tidak luntur membuktikan bahawa kasih seorang ibu mampu mengatasi segala kesusahan hidup. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541000567835 atas nama Noryani Syakira Yaakob.

Baca juga: JPN Tawar Tempahan ‘Foto Kenangan Terindah’, Papar MyKad Nostalgia Dari Usia 12 Tahun Hingga Wajah Terkini

Sumber: Kosmo

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×