Kebelakangan ini, watak kartun dalam kostum maskot berwarna-warni semakin kerap dilihat di lokasi tumpuan awam dari dataran bandar hingga ke pusat beli-belah. Ramai yang terhibur melihat ‘maskot hidup’ ini melambai-lambai dan berinteraksi mesra, terutama kanak-kanak yang begitu teruja melihat watak kegemaran mereka muncul depan mata.
Namun, di sebalik senyuman ceria dan gerak lincah itu, tersimpan kisah yang mengejutkan.
MAKIN BANYAK KANAK-KANAK ‘DIGUNAKAN’ DALAM KOSTUM MASKOT, NETIZEN RISAU

Foto: Kosmo
Rupa-rupanya, terdapat kes di mana kostum comel itu disarung oleh tubuh kecil seorang kanak-kanak. Bayangkan, dalam cuaca panas terik dan suasana hiruk-pikuk, mereka terpaksa berdiri berjam-jam dalam pakaian tebal dan tidak selesa semata-mata untuk menghibur orang ramai dan meraih simpati demi sesuap nasi.
Keadaan ini menyebabkan ramai yang tersentuh hati lalu menghulurkan sumbangan, membeli makanan atau memberi wang secara spontan. Tetapi timbul persoalan yang lebih besar, siapakah yang mengarahkan mereka melakukan semua ini? Apakah ini satu bentuk eksploitasi kanak-kanak oleh individu yang tidak bertanggungjawab demi mendapatkan wang mudah?
Isu ini turut menarik perhatian aktivis masyarakat dan personaliti media sosial, Mohd Fadli Salleh, yang menggesa agar pihak berkuasa khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) campur tangan segera bagi menyiasat dan menghentikan perkara ini.
Di media sosial, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman melihat sendiri kanak-kanak ini dalam keadaan lapar dan meminta makanan. Ramai meluahkan rasa simpati, namun dalam masa yang sama mengecam tindakan pihak yang sanggup menggunakan kanak-kanak untuk kepentingan sendiri kerana makin hari makin ramai yang terlibat!
Kanak-Kanak Bukan Alat Cari Rezeki
@abgmuliadiTerharu tengok adik ni berdiri pakai maskot katak. Semoga adik ni dilimpahkan rezekinya aamiin♬ Sad and lonely – MoppySound
Secara asasnya, kanak-kanak seharusnya menikmati zaman mereka dengan bermain, belajar dan membesar dalam suasana selamat dan sihat, bukan bekerja di jalanan dalam keadaan yang mencurigakan. Jika tidak dibendung segera, dibimbangi lebih ramai anak kecil akan menjadi mangsa eksploitasi yang meragut masa depan mereka.
Orang ramai menyeru agar pemantauan rapi dan tindakan tegas dilaksanakan terhadap mereka yang mempergunakan kanak-kanak untuk mencari keuntungan. Kanak-kanak bukan alat mencari rezeki, mereka wajar dilindungi, bukan dimanipulasi.
Baca juga: “Makanan & Saiz Badan Tak Kena Usia”- Jurulatih Tegur Bapa Abang Aji, Konten Obesiti Dah Melampau
Sumber: Kosmo
