Satu perkongsian yang tular di media sosial baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ibu bapa dan warga pendidik apabila seorang murid Tahun 1 didakwa kehilangan markah bagi tugasan Sains hanya kerana menggunakan warna merah hati berbanding merah terang.
GURU PANGKAH JAWAPAN MURID KERANA GUNA WARNA MERAH HATI

Foto: Threads @cikgukamil4436
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, Cikgukamil436, yang berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp antara seorang ibu dan guru anaknya berhubung tugasan pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup.
Berdasarkan lembaran kerja yang dikongsikan, murid berkenaan diminta mewarnakan objek mengikut kategori yang ditetapkan iaitu:
- Warna kuning untuk benda hidup
- Warna merah untuk benda bukan hidup
Murid tersebut dilihat berjaya mengelaskan semua objek dengan betul mengikut arahan soalan.
Malah, jawapan bertulis pada bahagian bawah juga dilaporkan tepat tanpa sebarang kesilapan.
Namun, sebahagian jawapannya tetap dipangkah kerana warna yang digunakan dikatakan lebih kepada merah hati dan bukannya merah terang.
Guru terbabit menjelaskan bahawa hanya seorang murid melakukan kesilapan tersebut manakala murid lain menggunakan warna yang lebih tepat.
“Warna merah dia tu lebih kepada merah hati kan. Setahu saya dia seorang yang salah, orang lain semua betul. Dia cakap dia tak ada warna merah terang,” jelas guru itu.
Ibu Pertahankan Anak, Fokus Pada Soalan Bukan Ton Warna Merah Hati

Foto: Threads @cikgukamil4436
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, ibu murid berkenaan tampil mempertahankan anaknya.
Menurutnya, fokus utama subjek Sains adalah untuk menguji kefahaman konsep pengelasan benda hidup dan benda bukan hidup, bukannya menilai jenis atau ton warna yang digunakan.
Dia turut menjelaskan bahawa anaknya telah mematuhi arahan dengan menggunakan warna merah, walaupun dalam ton yang lebih gelap.
“Dari segi pemahaman konsep, anak saya warnakan kumpulan yang betul mengikut arahan soalan. Kasihan pada murid yang sudah faham konsep Sains tapi ditolak markah hanya kerana isu ton warna pensel,” katanya.
Malah, dia berpendapat isu tersebut lebih berkait dengan kekangan alat tulis yang dimiliki murid dan bukannya kegagalan memahami arahan.
Walaupun penjelasan telah diberikan, guru tersebut tetap mempertahankan tindakannya.
Menurut guru berkenaan, tindakan memangkah jawapan dibuat supaya murid lebih peka dan cakna terhadap arahan yang diberikan.
Guru tersebut turut meminta agar lembaran kerja tersebut dipulangkan semula untuk diperbetulkan.
“Saya buat macam tu supaya anak puan cakna dengan arahan. Kalau puan nak saya betulkan semula, bawa kertas tu Jumaat,” katanya.
Netizen Tidak Bersetuju Dengan Guru

Foto: Threads @cikgukamil4436
Meninjau ruangan komen, ramai pengguna media sosial berpandangan bahawa warna merah tetap dikategorikan sebagai merah tanpa mengira ton yang digunakan.
Ada yang berpendapat tindakan tersebut boleh mengelirukan murid dan menjejaskan motivasi mereka untuk belajar.
“Sedangkan budak tak sempat jawab atau kosong pun kita bagi peluang jawab semula. Ini pula warna yang jelas sekali warna merah,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen yang bekerja dalam bidang berkaitan warna turut menyuarakan pandangan serupa.
“Red is red. Doesn’t matter whatever tone it is. It’s a Science class, bukan Art class.”
Malah ada yang secara berseloroh mempersoalkan bagaimana guru akan menentukan tona merah yang perlu digunakan sekiranya murid mempunyai set pensel warna dengan pelbagai pilihan warna merah.
“Kalau anak bawa set 60 warna dengan tujuh tona merah berbeza, kena tanya guru dulu yang mana satu merah yang dibenarkan?”
Jika Benar Berlaku, Guru Itu Salah
Dalam masa sama, Cikgu Mohd Fadli Salleh turut mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan itu.
Menurutnya, Cikgu Fadli masih meragui kesahihan perkongsian tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia sekadar kandungan yang dibuat untuk menarik perhatian pengguna media sosial.
Namun, sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku, beliau berpandangan bahawa guru berkenaan telah melakukan kesilapan.
“Arahan soalan jelas, warnakan merah. Bukan merah terang. Jadi apa-apa warna merah diterima betul. Bahkan kalau warna pink pun boleh diterima. Pink kan merah jambu.”
Walaupun isu ini mungkin kelihatan kecil, perdebatan yang tercetus menunjukkan betapa pentingnya keseimbangan antara pematuhan arahan dan penilaian kefahaman murid, khususnya bagi pelajar sekolah rendah.
Bagi ramai ibu bapa dan pendidik, aspek yang lebih utama ialah memastikan murid memahami konsep yang diajar, selain mengekalkan semangat mereka untuk terus belajar dan mencuba tanpa rasa takut melakukan kesilapan kecil yang tidak menjejaskan objektif pembelajaran.
Sumber: Threads @cikgukamil4436 dan Facebook Mohd Fadli Salleh
FT Images: Threads @cikgukamil4436 dan Gemini AI
