Nampaknya, acara makan durian masih belum sampai ke penghujungnya kerana masih berada dalam ‘musim’. Jadi, ramai penganjur majlis akan menggunakan masa ini menganjurkan ‘buffet durian’ dengan harga yang berbaloi.
Namun, apa yang merisaukan adalah ada penggemar durian ini akan makan dalam kuantiti luar biasa dalam satu masa! Bayangkan, lima biji durian montok, setiap satu hampir mencecah tiga kilogram dimakan sekali gus, memang risau…
Baca juga: 7 Port Makan Durian Paling ‘Berhantu’ Di Sekitar KL & Selangor, Rasa Padu… Harga Berbaloi!
MAKAN DURIAN DALAM KUANTITI BANYAK SEKALI GUS, INI APA YANG BERLAKU PADA BADAN ANDA

Foto: freepik
Memang rasa buah durian ini sangat sedap dan mudah membuatkan anda terleka namun apa yang mungkin tidak anda sedar, dalam tempoh singkat itu tubuh anda sedang memproses lebih 8,000 kalori yang cukup untuk menampung keperluan tenaga empat hari makan. Gula darah naik mendadak, jantung bekerja lebih keras, dan tekanan darah mula meningkat.
Bagi orang sihat, ini sudah satu beban berat untuk tubuh. Tetapi bagi mereka yang menghidap diabetes, lonjakan gula darah boleh membawa kepada hiperglisemia lantas menyebabkan pening, penglihatan kabur, atau dalam kes tertentu, pengsan.
Bagi pesakit jantung atau darah tinggi, degupan yang terlalu laju serta tekanan darah yang mencanak naik boleh mencetuskan serangan jantung atau strok secara tiba-tiba.
BADAN MULA KELUARKAN ‘HABA’

Foto: freepik
Sementara itu, perut anda mungkin terasa tegang. Kombinasi serat, lemak dan gula dalam kuantiti besar melambatkan proses pencernaan, membawa kepada rasa kembung, pedih ulu hati, dan mual. Tubuh mula ‘berhaba’ dan peluh dingin mengalir walaupun anda duduk diam. Itu tanda badan cuba membuang haba berlebihan dan menstabilkan diri.
Pada awalnya bermula dengan pesta durian boleh berakhir dengan perjalanan segera ke wad kecemasan, terutamanya jika tubuh anda sebenarnya menyimpan penyakit senyap yang menunggu masa untuk ‘meletup’.
Kesimpulannya, durian bukanlah musuh. Ia buah bermusim yang kaya rasa dan nostalgia tetapi nikmatilah secara sederhana. Sedikit hirisan sudah cukup memuaskan tapi tidak perlu hingga meja penuh kulit dan badan penuh risiko. Ingat!
Baca juga: Resepi Serawa Durian Pekat Berlemak, Menu Musim Durian Paling ‘Laku Keras’…Tak Cukup Semangkuk!
Sumber: Public Health Malaysia
