Di saat orang lain menikmati sahur dengan penuh kasih sayang, ada yang menahan emosi di meja makan. Seorang pengguna media sosial meluahkan perasaan sedih dan mengalami tekanan emosi kerana bapanya yang didakwa bersikap narcissistic dan mementingkan diri sendiri.
Baca juga: Ahli Keluarga Sendiri Toksik Bila Tunjuk Tanda Ini, Nampak Bergurau Tapi BUKAN!
AYAH MAHU DILAYAN SEPERTI RAJA, ANAK TEKANAN EMOSI

Foto: Threads @yoursnisaft
Menerusi satu hantaran di Threads, individu tersebut menceritakan bagaimana keluarganya tetap berusaha menyediakan keperluan harian termasuk bangun seawal jam 4.30 pagi untuk menyediakan sahur sepanjang bulan Ramadan. Namun, layanan yang diterima tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan.
Menurutnya, si bapa sering mahu dilayan seperti “raja”, sehingga perkara kecil seperti mengambil makanan di hadapan mata sendiri pun perlu dilakukan oleh si ibu. Keadaan ini menjadi lebih sukar apabila berlaku pertengkaran antara ibu dan bapa, yang akhirnya memberi kesan emosi kepada seluruh ahli keluarga.
Lebih menyedihkan, individu tersebut mempersoalkan mengapa ibunya masih memilih untuk kekal dalam hubungan tersebut walaupun mempunyai kemampuan untuk berdikari. Difahamkan, segala aset seperti rumah dan kenderaan adalah atas nama si ibu kerana bapa mereka berstatus muflis.
“Saya pernah minta mak tinggalkan dia, semua pun mak ada. Tapi mak tetap fikir kesian dekat papa, takut nanti tak ada siapa jaga dia,” luahnya.
Tambahnya lagi, alasan simpati itu sukar difahami memandangkan si bapa sendiri tidak menunjukkan empati terhadap ahli keluarga lain. Malah, rakan-rakan si bapa juga dikatakan menjauhkan diri kerana sikapnya.

Foto: Gemini AI
Perkongsian itu turut mengundang perhatian ramai yang rata-rata bersimpati dengan situasi yang dialami. Ada yang berkongsi pengalaman hampir sama, selain menasihatkan agar individu tersebut terus menjaga kesihatan mental dan emosi.
Situasi seperti ini membuka perbincangan tentang kepentingan hubungan kekeluargaan yang sihat, saling menghormati serta peranan setiap ahli keluarga dalam mewujudkan suasana harmoni di rumah.
Dalam masa sama, pakar turut menekankan bahawa sikap terlalu bertoleransi terhadap layanan toksik boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan emosi, terutama dalam kalangan anak-anak.
Apa pun, setiap individu berhak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat, dihargai dan penuh kasih sayang. Sesuatu yang sering dianggap remeh, namun amat besar maknanya bagi mereka yang melaluinya.
Baca juga: Wanita Kongsi Berdepan Biras Toksik Suka Meniru, Sampai Hamil Jantina Anak Apa Pun Nak Lawan!
Sumber: Threads @yoursnisaft
FT Images: Gemini AI
