Dalam usia ketika ramai remaja lepasan SPM sedang sibuk merancang masa depan, seorang gadis dari Segamat memilih jalan yang berbeza. Bukan kerana dia tidak mempunyai impian, tetapi kerana keluarga lebih memerlukan dirinya ketika ini.
Baca juga: Impian Timang Cahaya Mata Makin Dekat, 47,000 Pasangan Bakal Nikmati Bantuan Rawatan Kesuburan
REMAJA LEPASAN SPM KETEPI CITA CITA DEMI BANTU KELUARGA

Foto: Facebook Yuneswaran Ramaraj
Kisah pengorbanan Amirah yang sanggup mengetepikan hasrat menyambung pelajaran demi membantu keluarga dan menjaga neneknya yang terlantar akibat strok telah menyentuh hati ramai, termasuk Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.
Menurut perkongsian Yuneswaran menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, kehidupan keluarga Amirah bukanlah mudah.
Ibu Amirah, Kak Zah sudah lama hidup tanpa suami di sisi dan terpaksa menanggung keluarga sendirian selepas ditinggalkan.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila nenek Amirah pula diserang strok sehingga memerlukan penjagaan sepenuh masa di rumah.
Disebabkan itu, Kak Zah terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang kini terlantar sakit.
Beban keluarga akhirnya dipikul oleh anak sulung mereka, Atikah yang bekerja di sebuah kedai kain dengan pendapatan cukup-cukup makan untuk menampung sewa rumah, makan minum dan perbelanjaan harian keluarga.
“Pelajaran Boleh Tunggu, Tapi Saya Nak Jaga Nenek”

Foto: Facebook Yuneswaran Ramaraj
Walaupun mempunyai peluang untuk menyambung pengajian seperti rakan-rakan lain, Amirah memilih untuk bekerja demi membantu ibunya dan menjaga nenek tersayang.
Menurut Yuneswaran, kata-kata Amirah benar-benar menyentuh hatinya.
“Saya nak jaga nenek. Dia mungkin dah tak lama, jadi saya tak nak menyesal. Pelajaran boleh tunggu.”
Difahamkan, ketika kecil dahulu, neneknya merupakan insan yang banyak menjaga dan membesarkannya.
Kini apabila wanita itu terlantar akibat strok, Amirah pula mahu berada di sisi sebagai tanda membalas jasa.
Dibantu Dapat Lesen Dan Kerja Lepasan SPM
Tersentuh melihat kesungguhan gadis itu, Yuneswaran mengambil inisiatif membantu Amirah mendapatkan lesen motosikal B2 selain membawanya menghadiri beberapa sesi temu duga pekerjaan di sekitar Segamat.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Amirah berjaya memperoleh pekerjaan dengan gaji hampir RM2,000 sebulan.
Menurut beliau, Amirah menunjukkan kesungguhan luar biasa sepanjang proses mencari pekerjaan walaupun sedang berdepan tekanan hidup yang besar.
Hadiah Motosikal Buat Amirah Menangis Terharu
Bagaimanapun, Yuneswaran merasakan bantuan tersebut masih belum mencukupi kerana Amirah memerlukan pengangkutan sendiri untuk pergi bekerja dan membantu keluarganya.
Beliau kemudian membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah motosikal baharu berwarna kuning kepada remaja itu.
Ketika dibawa ke lokasi berkenaan, Amirah pada mulanya tidak mengetahui tujuan sebenar mereka ke situ.
Namun sebaik melihat motosikal yang dihias dengan riben, dia tergamam sebelum menangis kerana terlalu terharu.
“Kenapa buat semua ni YB? Macam mana saya nak bayar balik?”
Menurut Yuneswaran, beliau memaklumkan bahawa hadiah tersebut diberikan secara ikhlas dan Amirah tidak perlu membayarnya semula.
“Orang Segamat Dah Macam Keluarga Saya Sendiri”
Dalam perkongsiannya, Yuneswaran berkata beliau menganggap masyarakat di Segamat seperti keluarganya sendiri dan akan terus membantu tanpa mengira bangsa atau agama.
Katanya, semangat perpaduan bukan sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.
Kisah Amirah ini menyentuh hati ramai netizen yang memuji sikapnya yang sanggup berkorban demi keluarga pada usia muda.
Sumber: Facebook Yuneswaran Ramaraj
FT Images: Facebook Yuneswaran Ramaraj
