Seorang bapa menerusi laman Facebooknya meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila anak lelakinya yang dikenali sebagai Aniq, pelajar istimewa pemegang kad OKU kategori Pembelajaran (Autisme) tidak ditawarkan mana-mana pilihan program pengajian yang dimohon pada Fasa 2 UPU.
Jelasnya, Aniq telah memenuhi semua syarat kelayakan yang ditetapkan, termasuk pencapaian CGPA cemerlang 3.83 dalam program matrikulasi.
Baca juga: Sikap Ibu Bapa Jadi PUNCA Anak Membuli Di Sekolah, Tegas Tak Bertempat Akan ‘Makan’ Diri!
ANAK PEMEGANG KAD OKU, AYAH KECEWA TAK DIPILIH MASUK UPU WALAUPUN 3.83

“Aniq, seorang anak istimewa, pemegang kad OKU kategori Pembelajaran (Autisme). Seorang pelajar yang bukan calang-calang. CGPA matrikulasi 3.83. Syarat am? Lulus. Syarat khas program? Lulus juga.
“Dia pilih dengan yakin. Bidang impiannya, Sains Komputer, Sains Matematik, Statistik di UKM dan UPM. Bidang-bidang yang perlukan minda kritikal. Aniq tahu ke mana dia mahu pergi. Dia dah sedia.
“Tapi bila fasa 3 dibuka. Semua pilihan dia hilang. Tiada lagi UKM. Tiada lagi UPM. Tiada lagi bidang yang dia usahakan sekian lama,” ujarnya.
Tambah si bapa, dia telah menghubungi pihak UPU untuk mendapatkan penjelasan lanjut, namun jawapan yang diterima sungguh mengecewakan.
Hal ini kerana pihak UPU menjelaskan bahawa Aniq tidak layak ditawarkan program-program tersebut semata-mata kerana dia merupakan seorang pelajar OKU Autisme.
Penjelasan itu amat mengejutkan, memandangkan Aniq telah memenuhi semua syarat am dan khas serta menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.

Sekadar gambar hiasan
Bagi si bapa, alasan tersebut bukan sahaja tidak munasabah, malah seolah-olah menafikan hak pendidikan anaknya hanya kerana status OKU yang disandang.
“Kami hubungi pihak UPU. Email dihantar. Jawapan diterima, tapi sangat mengecewakan. Alasannya? Kerana Aniq adalah pelajar OKU Autisme.
“Kenapa? Apa logiknya menafikan peluang anak ini, semata-mata kerana status OKU walhal dari segi akademik, dia lebih dari layak. Adakah sistem hari ini masih melihat OKU sebagai beban, bukan potensi? Adakah kecerdasan Aniq dinilai dari label semata-mata, bukan keupayaan sebenarnya?
“Jangan hukum mereka kerana cara belajar mereka berbeza. Jangan hadkan masa depan mereka hanya kerana sistem tidak cukup inklusif. Kami tidak minta simpati. Kami tuntut keadilan. Untuk Aniq, untuk semua anak-anak OKU yang berjuang dalam diam,” luah si bapa.
Baca juga: Kera Liar Ceroboh Rumah & Cuba ‘Culik’ Baby Depan TV, Nasib Nenek Sempat Sergah!
Sumber: Facebook
