Setiap hari berita yang dilaporkan oleh media mengenai orang hilang atau anak lari rumah. Perkara ini perlu dibendung dengan segera agar tidak terus-terusan berleluasa.
Menurut penulis, isu anak lari rumah berpunca daripada pelbagai sebab dan antaranya adalah masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh si anak. Ikuti penjelasan lanjut di bawah.
Baca juga: Bukan Tugas Anak Sulung Untuk Jaga Adik, Ibu Ayah Hentikan Stigma Ini!
ANAK LARI RUMAH MAKIN MENJADI-JADI, INI PUNCANYA

1. Masalah kesihatan mental
Masalah anak lari rumah boleh berpunca daripada kesihatan mental di mana ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal, kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang.
Masalah kesihatan mental turut merangkumi kemurungan, gangguan tidur, kecelaruan panik dan kecelaruan stres selepas trauma yang berlaku.
Masalah yang dihadapi oleh seseorang membolehkan dia berfikiran tidak ‘waras’ sehingga melakukan tindakan luar kawalan seperti lari rumah.
2. Masalah keluarga
Punca anak lari rumah yang selanjutnya adalah masalah keluarga yang semakin menjadi-jadi. Data juga menunjukkan jumlah penceraian meningkat dan ini bermakna anak-anak juga terbabit merasai ‘keperitan’ hidup.
Remaja yang sering melihat ibu bapa bertengkar antara satu sama lain pasti tertekan atau murung sehingga mengakibatkan mereka mengambil keputusan untuk lari dari rumah.
Ibu ayah yang sering memukul anak, melakukan salah laku seksual terhadap anak kandung sendiri boleh menyebabkan si anak trauma dan nekad untuk lari daripada situasi tersebut.
3. Tekanan hal sekolah
Selain itu, anak lari rumah juga berpunca daripada tekanan masalah di sekolah yang ditanggung seorang diri. Ketegasan seorang guru mungkin menyebabkan diri mereka bertindak luar kawalan kerana ingin lari daripada masalah.
4. Anak lari rumah – pengaruh rakan sebaya
Anak lari rumah juga mungkin disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini kerana rata-rata remaja beranggapan bahawa mereka lebih selesa dan rapat bersama rakan berbanding ibu ayah.
Perlu diingatkan bahawa ibu bapa bekerja demi menyara kehidupan dan memastikan anak-anak selasa. Namun, balasan yang diberikan oleh anak tidak setimpal kerana sifat besar kepala dan lebih mudah mendengar kata rakan-rakan.
5. Masalah sosial
Masalah sosial seperti merempit dan menghisap dadah juga antara punca anak lari rumah. Lebih menyedihkan apabila remaja sanggup melakukan perkara sebegini tanpa memikirkan ibu bapa di rumah.
Kajian mendapati bahawa masalah sosial ini sering dihadapi oleh remaja yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan. Tindakan mereka melakukan aktiviti tidak berfaedah berkemungkinan boleh mengurangkan stres sehingga mengambil keputusan untuk lari rumah.
6. Anak lari rumah – kurang didikan agama
Punca terakhir anak lari rumah kurang didikan agama daripada ibu bapa. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana jika diambil mudah, pasti si anak akan melakukan perkara negatif sehingga lari dari rumah.
Kesimpulannya, bukan sahaja ibu bapa memainkan peranan penting, si anak sendiri perlu terapkan nilai-nilai murni di dalam diri sendiri dan tidak melakukan hal-hal negatif.
Baca juga: Prosedur & Dokumen Ambil Anak Angkat Di JKM, Proses Mudah Jika Lengkap Semuanya!
Sumber: ipendidikan
