Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha meluahkan rasa syukur dan bangga apabila anak keduanya, Sophea Natasha, 12 tahun, berjaya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh elit, Kolej Tunku Kurshiah (TKC).
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh bekas doktor pakar ortopedik berkenaan menerusi satu hantaran di Instagram, sekali gus menarik perhatian ramai warganet yang turut tumpang gembira dengan pencapaian tersebut.
Baca juga: “Tingginya Bella!”- Datuk Dr.Sheikh Muszaphar Kongsi Ukur Ketinggian Anak, Macam Model!
TASHA BERJAYA DAPAT TAWARAN MASUK KOLEJ TUNKU KURSHIAH (TKC), HEBAT!

Foto: IG @drsheikhmuszaphar
Lebih menyentuh hati, Sophea Natasha atau mesra disapa Tasha bukan sekadar cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam bidang sukan. Tasha merupakan antara peserta Program Pembangunan Sukan Bakat Olimpik 2025/2026 bagi acara renang, yang menuntut komitmen latihan intensif hampir setiap hari.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, anaknya itu bijak mengurus masa walaupun jadual hariannya padat dengan latihan renang dan olahraga.
“Tasha berjaya dapat TKC. Latihan dibuat tanpa jemu untuk renang dan olahraga. Dalam sibuk berlatih, tetap curi masa belajar bila ada peluang. Alhamdulillah, your hard work paid off,” tulisnya penuh makna.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga mewakili dirinya dan isteri, Datin Dr Halina Mohd Yunos atas kejayaan anak mereka itu.
“Apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Daddy sangat bangga, mommy pun sama. Syukur sangat-sangat,” kongsinya lagi.
Dalam hantaran sama, Dr Sheikh Muszaphar tidak lupa mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang turut berjaya menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh, sambil mendoakan kejayaan mereka di masa hadapan.
Untuk rekod, kejayaan ini bukan yang pertama buat keluarga tersebut. Anak sulung mereka, Sophea Isabella, 13 tahun, turut pernah menerima tawaran ke TKC pada tahun lalu, namun memilih untuk melanjutkan pengajian di Kolej Permata Pintar Negara (KPPN).
Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, dua pasang anak kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah, Sheikh Eusoff, Sophea Emelia serta putera bongsu, Sheikh Muhammad.

Foto: IG @drsheikhmuszaphar
Kejayaan demi kejayaan anak-anak mereka nyata menjadi inspirasi buat ramai ibu bapa, khususnya dalam mendidik anak agar seimbang antara akademik dan kokurikulum. Syabas!
View this post on Instagram
Baca juga: Baru Usia 8 Tahun, Anak Dr. Sheikh Muszaphar Dah ‘Obses’ Algebra…Siap Menang Pertandingan Dunia!
Sumber: Instagram @drsheikhmuszaphar
