Ramai ibu bapa memasang impian untuk melihat anak berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berprestij seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun menurut Dr. Sheikh, persediaan untuk ke sana sebenarnya bukan dibuat saat akhir, sebaliknya perlu dimulakan lebih awal iaitu seawal Tahun 4 lagi.
Baca juga: Anak Dapat Duit Raya Cecah Ribuan Ringgit? Ini 6 Cara Bijak Urus Simpanan Elak ‘Lesap’ Begitu Saja!
ROADMAP DR. SHEIKH UNTUK ANAK MASUK MRSM & SBP

Berkongsi pengalaman selepas dua anaknya berjaya menempatkan diri di sekolah terkemuka, Angkasawasa Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha tampil berkongsi panduan serta roadmap buat ibu bapa yang mensasarkan anak ke sekolah berasrama penuh.
Menurut beliau, persaingan untuk memasuki sekolah seperti SBP dan MRSM sememangnya sangat tinggi memandangkan jumlah permohonan jauh lebih besar berbanding tempat yang ditawarkan.
“Bukannya mudah kerana persaingan tinggi dan sangat kompetitif. Anak-anak semua bijak- bijak belaka. Hanya yang terbaik akan terpilih.
“Kira-kira 9,800 tempat di SBP, 7,300 tempat di MRSM dan 9,000 tempat untuk SMKA manakala yang memohon ialah 217,000 orang.
“Walaupun anak menerima anugerah cemerlang di sekolah, tak semestinya akan terpilih. Hal ini membuatkan ibu bapa pening,” kongsinya.
Baca juga: Ini 5 Tanda Anda Melahirkan Anak Genius, Rupanya Perangai ‘Pelik’ Itu Petanda Bijak Macam Pendeta!
Tahun 4 dah kena mula fokus akademik & kokurikulum
Dr Sheikh yang mempunyai pengalaman anak pertamanya bersekolah di Permata Pintar UKM dan anak kedua di Kolej Tunku Khurshiah (TKC) berkata, persediaan awal memainkan peranan cukup penting.
“Bila bercakap mengenai PKSK ini, memang nervous ya. Saya sudah melaluinya dengan dua anak saya, Bella dan Tasha.
“Sekarang Bella berada di Tingkatan Tiga, Sekolah Pemata Pintar UKM dan Tasha baharu masuk Tingkatan Satu di TKC Alhamdulillah.
“Macam mana kita nak membuatkan persediaan awal untuk anak-anak? Bagi saya, sejak dari Tahun Empat lagi perlu dimulakan,” katanya.
Menurut beliau, keluarga mereka sudah mula merancang lebih awal dengan sasaran anak-anak perlu masuk sekolah berasrama sama ada MRSM atau SBP.
“Kami sudah mula bersedia dari awal kerana sudah merancang awal dengan mensasarkan anak-anak semuanya mesti masuk sekolah berasrama, sama ada MRSM atau SBP.
“Sejak dari Tahun Empat anak-anak kena cemelrang dalam segi akademik. Kalau boleh berjaya dengan cemerlang dengan perbanyakkan tuisyen atau belajar di rumah,” jelasnya.
Selain akademik, beliau turut menegaskan kepentingan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Tahap Penguasaan (TP).
“Tahap Penguasaan (TP) bagi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sangat penting sangat. Ia sekurang-kurangnya TP5 untuk semua subjek sejak Tahun Lima dan Tahun Enam lagi.
“Kadang-kadang skor 95 peratus tapi TP4. Untuk dapatkan TP6 anak harus skor Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), memahami subjek, boleh beri tunjuk ajar murid lain, aktif dalam kelas dan sebaiknya eksrovert,” kongsi beliau dengan jelas.

PKSK paling penting, kokurikulum juga perlu kuat
Selain akademik, Dr Sheikh berkata ibu bapa juga perlu memberi perhatian kepada aktiviti kokurikulum anak-anak kerana ia menjadi antara nilai tambah penting dalam permohonan.
“Kedua, mesti skor ko-kurikulum dan aktif, bukan sekadar pandai sahaja. Anak-anak saya, mereka lebih kepada sukan renang dan olahraga hingga ke peringkat kebangsaan.
“Jadi, ini semua kita kumpulkan sebagai persediaan untuk digunakan ketika membuat permohonan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Peperiksaan Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) memainkan peranan paling besar dalam pemilihan.
“Ujian PKSK paling penting. Ia merangkumi 70 peratus. Mesti skor dan kena mahir soalan insaniah yang melibatkan Kehidupan di asrama, subjek teras.
“Banyakkan soalan latihan PKSK. Ambik tuisyen kalau mampu,” kongsinya.
Baca juga:
Pilih sekolah dengan strategi yang betul
Bukan itu sahaja, cara ibu bapa mengisi pilihan sekolah dalam permohonan juga menurut beliau memberi kesan terhadap peluang diterima masuk.
“Pilihan pertama, isi sekolah pilihan elite school. Ambil yang top school. Pilihan kedua dan ketiga bukan sekolah elit tetapi yang masih unggul
“Sekolah elit seperti TKC, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Seri Puteri, Malay College Kuala Kangsar, Sekolah Alam Shah, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Taiping, MRSM Langkawi dan lain-lain.
“Ramai sangat yang mohon tetapi kalau rasa anak bijak dan pencapaian tip top, boleh add dua hingga tiga buah sekolah elit,” titipnya lagi.
Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan kata-kata semangat buat ibu bapa dan anak-anak yang sedang memasang impian ke MRSM atau SBP.
“Selamat maju jaya kepada anak-anak yang memohon tahun ini. Gandakan usaha, yakin dengan ketentuan.
“Untuk menjadi yang terbaik, kamu perlu dikelilingi oleh mereka yang terbaik,” titipnya.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram @drsheikhmuszaphar
FT Image: Instagram @drsheikhmuszaphar
