Impian pergi umrah bersama seluruh ahli keluarga pastinya menjadi detik bermakna buat setiap ibu bapa. Begitulah yang dikongsikan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid selepas beliau dan keluarga selesai menunaikan umrah wajib di Tanah Suci.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, isteri kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu meluahkan rasa syukur apabila berpeluang melihat anak-anak mengerjakan ibadah bersama dirinya dan suami, sambil mengakui perjalanan tersebut hadir dengan pelbagai cabaran yang cukup bermakna.
DATUK ALIFF SYUKRI & DATIN SHAHIDA KONGSI CABARAN PERGI UMRAH BAWA ANAK-ANAK

Shahida berkata, pengalaman melihat anak-anak bersama mengerjakan ibadah di Tanah Suci merupakan satu kenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Seronok bila dapat tengok anak anak bersama mama dengan papa mengerjakan ibadah umrah sama sama. Ini lah moment yang kadang kita sendiri tak sedar.
“Alhamdulillah selesai umrah wajib kami sekeluarga,” kongsi beliau.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya yang turut menzahirkan rasa syukur dan mendoakan agar seluruh keluarga dikurniakan umrah yang mabrur.
Akui bukan mudah pergi umrah bersama anak-anak

Dalam hantaran sama, Shahida mengakui pergi umrah bersama anak-anak, terutama yang masih kecil, bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurutnya, ada masanya anak-anak keletihan sehingga mahu tidur atau mengadu sakit kaki ketika menunaikan ibadah.
“Bukan mudah ya bawa anak anak ni. Tambah tambah yang kecil ni. Kejap tu la dia nak tidur nya, sakit kaki nya. Dugaan yang menyeronokkan,” kongsi beliau lagi.
Walaupun berdepan pelbagai kerenah, beliau menyifatkan semua cabaran itu sebagai pengalaman indah yang akan sentiasa dikenang oleh seisi keluarga.

TURUT BAWA 60 KAKITANGAN & RAKAN NIAGA
Ahad lalu, Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan beliau berangkat ke Tanah Suci bersama isteri, enam orang cahaya mata, keluarga mentua serta sebahagian kakitangan syarikat D’Herbs.
Lebih istimewa, rombongan tersebut turut melibatkan kira-kira 60 kakitangan dan rakan niaga, sebagai tanda penghargaan terhadap mereka yang telah bersama-sama membangunkan syarikat.
Menurut Aliff, beliau berasa gembira dapat berkongsi rezeki dengan individu yang banyak berjuang bersamanya dalam dunia perniagaan.
Beliau turut berharap agar lebih ramai kakitangannya berpeluang pergi umrah pada masa hadapan sekiranya diberikan rezeki dan kesempatan.
@papalarisofficialAlhamdulillah, hari ini papa bersama keluarga dan sebahagian daripada staf D’Herbs berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah. Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat berkongsi rezeki dengan insan-insan yang sama-sama berjuang bersama papa. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan perjalanan kami, mengurniakan umrah yang mabrur, menerima segala amal ibadah serta memakbulkan setiap doa yang dipanjatkan. Doakan semoga perjalanan ibadah kami dipermudahkan, diberikan kesihatan yang baik dan pulang dengan hati yang lebih tenang serta penuh keberkatan. Insya-Allah, jika diizinkan Allah SWT, saya berharap lebih ramai lagi team dapat menjadi tetamu-Nya pada masa akan datang. Semoga Allah menerima setiap amalan kita semua. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.♬ original sound – Aliff Syukri Kamarzaman
Sumber: Instagram @shahidadherbs / TikTok @papalarisofficial
FT Image: Instagram @shahidadherbs
