Euforia Bola 2026
Suami Isteri

Tulang Isteri Rapuh & Tak Seimbang, Tindakan Suami Ikat Tali Pada Selipar Ketika Tunai Haji Buat Ramai Tersentuh

pengorbanan suami

Kasih sayang tidak semestinya hadir dalam bentuk hadiah mahal atau kata-kata indah. Kadangkala, ia hadir dalam tindakan kecil yang dilakukan penuh ikhlas. Begitulah kisah menyentuh hati melibatkan pengorbanan suami yang mengikat sepasang selipar menggunakan tali menjadi untuk isterinya ketika menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Baca juga: Impian Arwah Anak Akhirnya Tertunai, Dua Beranak Ini Bakal Jejak Kaki Ke Tanah Suci Tahun Ini

PENGORBANAN SUAMI IKAT TALI PADA SELIPAR ISTERI KETIKA TUNAI HAJI

pengorbanan suami

Foto: Bernama

Bagi Rossilawati Abdul Razak yang berumur 65 tahun, selipar itu bukan sekadar alas kaki, tetapi simbol kasih seorang suami yang sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang.

Dia tetap menggagahkan diri meneruskan ibadah di Arab Saudi dengan penuh sabar dan ketabahan.

Kisah itu bermula ketika mereka berada di Madinah apabila sandal khas yang digunakan Rossilawati untuk membantu mengimbangi postur badannya tiba-tiba terputus.

Keadaan itu menyebabkan pergerakannya menjadi semakin sukar memandangkan kaki kanan beliau lebih pendek berbanding kaki kiri akibat komplikasi penyakit yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Melihat keadaan isterinya, suaminya, Kamaruzaman Othman yang berumur 66 tahun, mencari penyelesaian.

Suaminya membeli beberapa pasang selipar sebelum mengikat dan mengubah suainya menggunakan tali bagi menyesuaikan ketebalan tapak dengan keadaan kaki isterinya supaya lebih stabil untuk berjalan.

Walaupun kelihatan sederhana, usaha kecil itu menjadi sangat bermakna buat Rossilawati kerana selipar tersebut membantunya bergerak dan meneruskan ibadah dengan lebih selesa.

Dia ikat selipar itu supaya saya boleh berjalan… itulah yang bantu saya bergerak,” katanya penuh sebak.

Pernah Menghidap Kanser Pada 2014

pengorbanan suami

Foto: Bernama

Di sebalik senyuman tenangnya hari ini, tersimpan perjalanan hidup yang penuh ujian dan kesakitan. Rossilawati sebelum ini disahkan menghidap Kanser Rektum pada penghujung tahun 2014.

Ketika itu, ketumbuhan yang dialaminya terlalu besar sehingga beliau terpaksa menjalani 25 sesi radioterapi dan kemoterapi sebelum sebarang pembedahan dapat dilakukan.

Dia mengakui tempoh rawatan itu merupakan antara fasa paling sukar dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kesakitan fizikal dan emosi dalam tempoh yang panjang.

Namun, berkat kekuatan diri, sokongan keluarga dan semangat yang tidak pernah putus, akhirnya dia berjaya melawan penyakit tersebut.

Alhamdulillah, sampai hari ini saya masih bertahan dan dah bebas daripada kanser itu,” katanya.

Sakit Kanser Tinggalkan Kesan Kekal

Walaupun berjaya bebas daripada kanser, penyakit itu meninggalkan kesan besar terhadap tubuh badannya.

Kanser tersebut dilaporkan merebak ke bahagian tulang paha sehingga menyebabkan struktur tulangnya menjadi rapuh dan tidak seimbang.

Akibat komplikasi itu juga, kaki kanan Rossilawati menjadi lebih pendek berbanding kaki kiri dan menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk berjalan seperti biasa.

Bukan itu sahaja, rawatan radioterapi yang diterimanya turut menyebabkan komplikasi pada buah pinggang sehingga perlu menjalani pemasangan stent pada saluran kencing selain menggunakan beg kolostomi untuk meneruskan kehidupan harian.

Dalam tempoh rawatan tersebut, berat badannya turut susut mendadak daripada 80 kilogram kepada hanya 42 kilogram.

Keadaan itu membuatkan dirinya terlalu lemah sehingga ada ketika dia sendiri tidak pasti sama ada mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pengorbanan Suami Setia Menjaga Tanpa Jemu

Rossilawati berkata suaminya sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh rawatan dan kesakitannya, malah tidak pernah menunjukkan rasa penat menjaga dirinya.

Kamaruzaman bukan sahaja membantu menguruskan keperluan harian isterinya, tetapi turut menjadi sumber kekuatan ketika Rossilawati hampir kehilangan semangat untuk terus berjuang.

Kalau tak ada suami saya, saya rasa saya pun tak ada,” katanya lagi.

Kata-kata itu jelas menggambarkan betapa besar pengorbanan seorang suami yang tetap setia menemani isterinya dalam keadaan sihat mahupun sakit.

Rezeki Dijemput Ke Tanah Suci

pengorbanan suami

Foto: Bernama

Sementara itu, Kamaruzaman berkata mereka sebenarnya tidak pernah menyangka akan diberikan peluang menunaikan ibadah haji bersama memandangkan keadaan kesihatan isterinya yang agak terbatas.

Menurutnya, mereka telah membuat rayuan untuk menunaikan haji sejak tahun 2016 lagi.

Namun, setiap kali memikirkan keadaan kesihatan Rossilawati, mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana bimbang akan kecewa.

Bila keputusan pemeriksaan kesihatan keluar, memang kami rasa peluang itu sangat tipis.

Kami pun tak berani nak cerita pada sesiapa sebab takut kecewa,” katanya.

Bagaimanapun, pasangan itu mula percaya bahawa mereka benar-benar dijemput menjadi tetamu Allah apabila segala urusan termasuk pasport dan dokumentasi perjalanan berjalan dengan lancar.

Tapi bila Tabung Haji minta pasport, urusan Nusuk semua berjalan, masa itu baru kami rasa mungkin memang Allah nak jemput kami berdua,” katanya lagi.

Walaupun Rossilawati perlu menggunakan kerusi roda bagi sebahagian ibadah, pasangan itu tetap bersemangat untuk melaksanakan rukun Islam kelima sebaik mungkin.

Kisah mereka bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah menjadi gambaran bahawa cinta sejati bukan sekadar hadir ketika bahagia, tetapi juga ketika seseorang sedang diuji dengan kesakitan dan kelemahan.

Dalam dunia yang semakin sibuk mengejar kesempurnaan, kisah selipar diikat tali ini membuktikan bahawa kasih sayang yang paling tulus selalunya hadir melalui pengorbanan kecil yang dilakukan dengan penuh ikhlas.

Baca juga: “Rezeki Luar Biasa” Dua Pelajar Cemerlang SPM Dipilih Jadi Tetamu Allah Pada Usia 18 Tahun

Sumber: Bernama

FT Images: Bernama 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×