Euforia Bola 2026
Didik

Berjaya Bangun Solat Subuh Berjemaah 40 Hari Tanpa Gagal, Kanak-Kanak 11 Tahun Dapat Hadiah Basikal!

solat subuh berjemaah

Usaha dan disiplin luar biasa seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Kemaman, Terengganu akhirnya berbaloi apabila menerima sebuah basikal sebagai ganjaran selepas berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di masjid.

Mungkin kedengaran macam mudah tetapi ini merupakan pencapaian luar biasa kerana bangun awal pagi untuk solat Subuh merupakan salah satu tugasan mencabar buat orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak.

Baca lagi: “Cikgu Pun Ada Hati”- Kertas Peperiksaan English Pelajar Dapat Markah 0%, Cikgu Menangis Di Luar Kelas

BANGUN SOLAT SUBUH BERJEMAAH 40 HARI BERTURUT-TURUT, ADIK 11 TAHUN BERJAYA!

solat subuh berjemaah

Kanak-kanak tersebut yang bernama Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq, dinobatkan sebagai pemenang utama Program King of Subuh Warrior 3.0 yang berlangsung di Masjid Padang Kubu, Kijal, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh komuniti masjid dengan sokongan Pusat Khidmat DUN Kijal itu berjaya menarik minat ramai kanak-kanak dan remaja untuk mendekatkan diri dengan rumah Allah melalui aktiviti solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata penganjuran kali ini merupakan edisi ketiga selepas kejayaan di Masjid Titian Berayun dan Masjid Batu 9, dan bakal diperluaskan ke beberapa masjid lain di kawasan itu.

“Program ini penting untuk menyemai semangat cintakan masjid dalam kalangan generasi muda serta memupuk disiplin, tanggungjawab dan nilai keagamaan yang tinggi,” katanya.

Menurut beliau, peserta berusia 17 tahun ke bawah menyertai program yang berlangsung dari 22 Ogos hingga 30 September lalu, dengan kehadiran mereka direkodkan melalui sistem kupon khas setiap hari.

Pemenang utama, katanya, berjaya hadir selama 40 hari tanpa gagal dan menerima hadiah sebuah basikal serta sijil penyertaan sebagai penghargaan atas komitmen dan kesungguhan luar biasa.

DULU SUSAH NAK KEJUT, SEKARANG DAH BANGUN SENDIRI…

solat subuh berjemaah

Bapa kepada Ammar, Mohd Afiq Azmi, mengakui cabaran utama pada awalnya adalah untuk membiasakan anak bangun seawal waktu Subuh.

“Dulu susah nak kejut, sekarang dia sendiri bangun Subuh” kata bapa adik Ahmad Ammar.

“Hari pertama dan kedua memang agak susah nak kejut, tapi lama-lama dia sendiri bangun awal dan semangat nak ke masjid,”
katanya sambil tersenyum bangga.

Kini, rutin solat berjemaah sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga mereka dan bukan lagi sekadar cabaran sementara.

Bagi Ahmad Ammar sendiri, kemenangan itu bukan sekadar tentang hadiah basikal, tetapi menjadi pembakar semangat untuk terus istiqamah menunaikan solat berjemaah.

“Saya seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan di masjid dan menang hadiah basikal. Terima kasih kepada ibu bapa saya yang selalu kejutkan saya setiap pagi,” katanya dengan penuh gembira.

Ternyata, langkah kecil ini mampu memberi inspirasi besar kepada kanak-kanak. Program seperti King of Subuh Warrior bukan sahaja mencipta suasana positif dalam komuniti, tetapi turut menjadi contoh bagaimana usaha kecil boleh membentuk generasi muda yang berdisiplin dan mencintai masjid sejak usia muda. Masjid di kawasan lain pun boleh cuba!

Baca juga: “Nak Duit Beli Scooter? Baca Surah Dulu..”- Cara Unik Dr Asyraf Wajdi Didik Anak Cintakan Al-Quran Raih Pujian

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×