Euforia Bola 2026
Nur

6 Amalan Harian Yang Ringkas… Tapi Bawa Nur Seri Pada Wajah, Hati & Jiwa!

amalan harian

Ramai yang mengimpikan kehidupan yang tenang serta wajah yang sentiasa kelihatan berseri. Namun dalam Islam, amalan harian yang dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah sebenarnya boleh menjadi sebab hadirnya ketenangan jiwa serta nur yang terpancar daripada hati.

Perkara ini bukan hanya berkaitan ibadah semata-mata, bahkan melibatkan cara seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam rutin seharian.

Baca juga: Rasa Diri Wanita Solehah, Tengok Ada Tak Ciri-Ciri Ini, Kalau Ada Alhamdulillah…

6 AMALAN HARIAN MEMBAWA NUR PADA WAJAH, HATI & JIWA

amalan harian

Gambar hiasan: Gemini AI

Berikut enam amalan membawa nur yang dikongsikan sebagai panduan.

1. Perbanyakkan  mengingati Allah (zikir)

Zikir ialah antara amalan yang paling mudah dilakukan pada bila-bila masa. Sama ada ketika memandu, bekerja, memasak atau berehat, lidah yang sentiasa mengingati Allah mampu menghidupkan hati dan memberi ketenangan kepada jiwa.

Apabila hati sentiasa dekat dengan Allah, seseorang juga akan lebih mudah menghadapi ujian hidup dengan sabar dan reda.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” Sahih al-Bukhari 6407, Sahih Muslim 779

2. Mengadu kepada Allah segalanya

Setiap manusia pasti melalui saat sukar, kecewa atau keliru. Dalam apa juga keadaan, jadikan Allah sebagai tempat pertama untuk mengadu.

Luahkan segala isi hati ketika berdoa atau sewaktu sujud kerana tiada tempat yang lebih baik untuk bergantung selain kepada-Nya. Semakin kerap kita kembali kepada Allah, semakin tenang hati menghadapi setiap ujian.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha Pemurah. Dia malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangannya kepada-Nya, lalu Dia membiarkannya kembali dalam keadaan kosong dan kecewa.” Sunan al-Tirmidhi 3556; Dinilai: Sahih

3. Memaafkan orang lain

Tidak semua perkara memerlukan penjelasan atau permohonan maaf. Ada kalanya, memaafkan seseorang secara diam-diam sudah cukup untuk membebaskan hati daripada rasa marah dan dendam.

Apabila hati menjadi lebih lapang, ia akan lebih mudah dipenuhi ketenangan dan kasih sayang.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sayangilah orang lain, nescaya kamu akan disayangi. Maafkanlah orang lain, nescaya Allah akan mengampunimu.” al-Adab al-Mufrad lil-Bukhari 380; Dinilai: Sahih

Baca juga: Cara Buat Solat Istikharah Untuk Dapat Jodoh, Tahun Depan Berbunyilah Kompang Depan Rumah!

amalan harian

Gambar hiasan: Gemini AI

4. Sentiasa menjaga wuduk

Wuduk bukan sekadar syarat sebelum menunaikan solat, malah menjadi salah satu cara untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa kecil.

Melakukannya dengan penuh kesedaran dapat menenangkan hati dan mengingatkan kita bahawa setiap hari adalah peluang untuk kembali kepada Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila seorang Muslim atau Mukmin membasuh wajahnya ketika berwuduk, maka keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh matanya bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua kakinya, maka keluarlah setiap dosa yang dilakukan olen kakinya bersama titisan air yang terakhir, sehingga dia keluar dalam keadaan bersih daripada dosa.” Sahih Muslim 244

5. Membaca al-Quran setiap hari

Walaupun hanya beberapa ayat, membaca al-Quran secara konsisten mampu memberi ketenangan kepada hati dan menjadi petunjuk dalam kehidupan.

Amalan ini bukan sekadar untuk memperoleh pahala, malah membantu seseorang membina hubungan yang lebih erat dengan Allah SWT.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Al-Quran itu adalah hujah untukmu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia memulakan harinya dengan menjual dirinya, sama ada dia membebaskan dirinya atau membinasakannya.” Hadis 23, 40 Hadis an-Nawawi

6. Menjaga solat Subuh pada waktunya

Solat Subuh mempunyai keistimewaan yang besar dalam Islam. Bangun pada awal pagi untuk menunaikan solat ketika kebanyakan orang masih lena merupakan satu bentuk ketaatan yang sangat bernilai.

Selain memulakan hari dengan keberkatan, menjaga solat Subuh juga menjadi antara amalan yang membantu seseorang sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah.” Sahih Muslim 657

Baca juga: Amalkan Doa Ini Selepas Baca Al-Quran Agar Jadi Penyejuk Hati & Hilangkan Kesedihan Jiwa!

AMALKAN SEDIKIT DEMI SEDIKIT, PALING PENTING ISTIQAMAH

Hakikatnya, amalan harian yang dilakukan secara konsisten walaupun sedikit lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi hanya dilakukan sekali-sekala.

Enam amalan ini bukan sahaja membantu mendekatkan diri kepada Allah SWT, malah mampu melembutkan hati, menenangkan jiwa dan menghadirkan nur dalam kehidupan.

Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk terus istiqamah berzikir, berdoa, memaafkan orang lain, menjaga wuduk, membaca al-Quran serta menunaikan solat Subuh pada waktunya.

Sumber: Kashoorga

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×