Sudah semestinya wujud perasaan kagum dan sejuk hati seorang ibu apabila anak kecilnya yang baru berusia 10 tahun berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran. Lebih luar biasa lagi adalah anak kecil ini hafal Al Quran dalam masa hanya 4 bulan 10 hari!
Memang hebat dan patut dijadikan contoh kepada ibu bapa dan anak-anak yang sedang melalui proses pembelajaran yang sama.
HAFAL AL QURAN DALAM USIA MUDA, MINAT AHMAD ZIYYAD NAMPAK DARI BAYI

Foto: BERNAMA
Itulah kisah Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, kanak-kanak dari Bukit Payung, Marang, Terengganu, yang menunjukkan kemampuan luar biasa. Berkat ingatan yang tajam dan kecintaan mendalam terhadap kalam Ilahi, Ahmad Ziyyad berjaya menyelesaikan hafazannya melalui program intensif di Akademi Al-Quran Amalillah.
Menurut ibunya, Nurul Shahida, minat Ziyyad terhadap Al-Quran telah mula terserlah sejak bayi lagi. Bahkan, pada usia dua tahun lapan bulan, dia sudah dapat menghafal 42 surah termasuk surah-surah panjang hanya dengan mendengar bacaan Al-Quran.
“Sejak bayi lagi, saya selalu mendodoikannya dengan bacaan al-Quran. Kalau saya berhenti pada mana-mana ayat, dia akan menangis dan hanya diam semula jika saya ulang dari awal,” katanya.
Menurutnya, akademi tempat Ahmad Ziyyad menimba ilmu itu biasanya hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun. Namun, disebabkan kebolehannya menghafal ayat-ayat Al-Quran dalam tempoh singkat iaitu hanya 10 minit, dia diterima masuk seawal usia sembilan tahun.
ZIYYAD ADA CIRI-CIRI DIKAITKAN DENGAN AUTISME

Foto: BERNAMA
Menariknya, Ziyyad juga mempunyai ciri-ciri hyperlexia dan hypernumeric iaitu keupayaan memahami huruf dan angka lebih awal daripada kebiasaan, yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme.
“Dia tahu lokasi ayat dalam Al-Quran, surah berapa, dan halaman mana. Dia juga suka mengkaji nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin minat terhadap nombor memainkan peranan besar dalam kemampuannya itu,” jelas ibunya.
Walaupun emosinya kadang-kadang tidak stabil, Ahmad Ziyyad mampu bangkit dan terus menghafal dengan lebih baik. Kini, setelah bergelar hafiz, si cilik ini menyambung persekolahannya di SRITI Al-Fateh hingga darjah enam sebelum memasuki peringkat seterusnya iaitu syahadah, proses mengesahkan hafazan di hadapan panel.
Namun, bagi Nurul Shahida, perkara paling membanggakan bukan sekadar pencapaian akademik anaknya, tetapi juga perubahan positif dalam keperibadian seperti solat awal waktu tanpa disuruh dan melazimi amalan sunat seperti tahajud. Bukan itu sahaja, demi memberikan pendidikan terbaik, keluarga ini sanggup berhijrah dari Kota Bharu, Kelantan ke Marang.
“Di SRITI Kota Bharu, jadual terlalu padat, menyebabkan hafazan agak perlahan. Kami mencari program fast track dan akhirnya temui Akademi Amalillah,” ujarnya.
Guru tahfiz Ahmad Ziyyad, Nurfatihar Riduan, memuji semangat dan dedikasi anak didiknya itu yang mampu menghafal satu halaman Al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit.
“Ada hari dia mampu tasmi’ satu juzuk penuh dan mengulang sehingga empat juzuk sehari. Paling mengagumkan ialah semangatnya serta pengorbanan ibu bapa yang sanggup berpindah demi masa depan anak,” katanya.
*Kejayaan Ahmad Ziyyad menjadi inspirasi ramai dan semoga kisah ini mendorong ibu bapa lain untuk turut mendidik anak-anak mencintai Al-Quran. Tahniah diucapkan dari pihak Sirap Limau!
Sumber: BERNAMA
