Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang cukup menyentuh hati apabila menampilkan seorang pelajar hafizah, Aina Afiqah binti Sahipol Nizam. Bukan sahaja cemerlang sebagai hafizah 10A SPM 2024, malah dia turut dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Terpuji, satu pencapaian yang jarang digenggam oleh pelajar seusianya.
Pelajar ini juga berjaya mencuri perhatian ramai apabila menyampaikan ucapan penuh syukur dalam Bahasa Jepun di sisi bapanya!
PELAJAR HAFIZAH 10A SPM 2024 CURI TUMPUAN, BERI UCAPAN DALAM BAHASA JEPUN!

Dalam video yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @tahfizmadinatulhuffaz, Aina kelihatan berdiri di sisi bapanya dengan wajah penuh syukur sambil menyampaikan ucapan ringkas namun sarat makna.
“Saya peroleh anugerah Tokoh Sahsiah Pelajar dan saya rasa sangat gembira serta bersyukur. Kepada pihak sekolah terutamanya guru-guru, saya amat berterima kasih,” katanya dengan nada rendah hati.
Apa yang menjadikan momen ini lebih istimewa, Aina turut melengkapkan ucapannya dalam Bahasa Jepun, sekali gus membuatkan ramai kagum dengan kepelbagaian bakat yang dimilikinya.
AYAH PUN CAKAP BAHASA JEPUN!
Lebih mengejutkan, sebaik mikrofon bertukar tangan, bapanya juga menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa yang sama dengan begitu fasih sekali. Riak wajah sang ayah jelas terpancar kegembiraan dan rasa bangga yang sukar digambarkan.
“Saya sangat gembira kerana dikurniakan anak perempuan yang sangat cemerlang,” luah beliau penuh syukur.
Video berdurasi 43 saat itu bukan sekadar paparan kejayaan seorang pelajar, tetapi juga menggambarkan kisah pengorbanan, doa tanpa henti dan kasih sayang seorang bapa yang berdiri teguh di belakang anaknya.
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa bangga dan terpukau dengan pencapaian Aina dan juga kebolehan untuk fasih bertutur Bahasa Jepun. Malah ada juga yang memberitahu bahawa ibu kepada Aina merupakan seorang berbangsa Jepun.
Ramai yang menganggap kejayaan ini sebagai sumber inspirasi buat generasi muda, khususnya mereka yang sedang mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan besar.
@tahfizmadinatulhuffaz 10A ✅ Hafizah ✅ Tokoh Sahsiah ✅ Cakap Jepun ✅ Macam checklist superhero 🤭 Siapa kata pelajar tahfiz tak boleh all-rounder? #MadinatulHuffaz #maahadtahfizgombak #maahadtahfizkl #fasttrackspm #spm2024 ♬ original sound – MATIS Madinatul Huffaz
Kisah Aina membuktikan bahawa kejayaan akademik bukan hanya tentang kecerdasan semata-mata, tetapi juga hasil usaha, disiplin, sokongan keluarga dan yang paling penting, keberkatan doa.
Sumber: Tiktok @tahfizmadinatulhuffaz
