Euforia Bola 2026
Didik

“Saya Elak Makanan Masam”- Pelajar Tingkatan 1 Cipta Rekod, Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam 5 Bulan!

30 juzuk al quran

Siapa sangka, di usia baru 13 tahun, seorang pelajar tingkatan satu dari SMKA Tok Bachok sudah pun mencipta rekod yang mengagumkan. Dalam tempoh hanya lima bulan 10 hari, Adib Sufyan Suhaimi berjaya menghabiskan hafazan 30 juzuk Al Quran!

Ini sekaligus menjadi pencapaian terbesar sekolah itu setakat ini. Memang hebat dan rupa-rupanya, ada petua yang diamalkan.

Baca juga: “Sejak Bayi Dodoi Dengan Al-Quran”- Hafiz Cilik Ahmad Ziyyad Hafal 30 Juzuk Dalam Tempoh 4 Bulan, Hebat!

PELAJAR TINGKATAN 1 HAFAZ 30 JUZUK AL QURAN DALAM MASA 5 BULAN, ELAK MAKANAN MASAM

30 juzuk al quran

Menurut Adib Sufyan, semua itu tidak datang bergolek. Kejayaan ini lahir daripada disiplin harian yang sangat ketat, termasuk membaca semula ayat hafazan, menulis kembali ayat Al-Quran untuk menguatkan ingatan, dan menjaga pemakanan.

“Untuk hafaz Quran kita kena ada niat, dan kena sungguh-sungguh. Setiap hari saya cuba hafaz 8 hingga 9 helai muka surat dan saya elakkan makanan masam,” katanya ketika ditemui.

Adib Sufyan, anak sulung kepada pasangan Suhaimi Omar dan Nor Haslinda Abdul Hamid itu berkata dia banyak mendapat inspirasi daripada ketua pengawas sekolahnya yang pernah menghafaz 30 juzuk dalam masa dua tahun.

Melihat kejayaan seniornya, Adib menanam tekad untuk mencuba dan ternyata usahanya membuahkan hasil dalam masa yang jauh lebih singkat.

Majlis Pengiktirafan & Ganjaran Istimewa

30 juzuk al quran

Kejayaan besar ini sudah semestinya diraikan dalam sebuah majlis penuh penghargaan yang turut dihadiri:

  • Pengurus YaPEIM Negeri Kelantan – Che Nur Azila Che Ghani
  • Pengarah Urusan Qashwa Travel – Nabil Deraman
  • YDP PIBG SMKATB – Datuk Azaha Ibrahim
  • Pengetua SMKATB – Muhd Fadhli Jusoh

Atas usaha luar biasanya itu, Adib menerima sumbangan wang tunai daripada YaPEIM dan tajaan umrah daripada Qashwa Travel. Rezeki mencurah-curah buat anak yang benar-benar berusaha!

Menurut Che Nur Azila, Pengurus YaPEIM, Adib merupakan salah seorang daripada 200 pelajar SMKATB yang menerima insentif khas hafazan melibatkan jumlah keseluruhan RM45,000 sumbangan YaPEIM dan MAIWP. Insentif diberikan mengikut jumlah juzuk yang berjaya dihafaz:

  • 1–10 juzuk : RM150
  • 1–20 juzuk : RM200
  • 1–30 juzuk : RM300

Program ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya di sekolah tersebut, selaras dengan misi YaPEIM untuk menyokong pembangunan pendidikan serta memperkasa masyarakat melalui ilmu Al Quran.

Kejayaan Adib Sufyan membuktikan bahawa usia bukan penghalang, asalkan ada disiplin, semangat dan sokongan keluarga serta guru. Moga kisah ini menjadi penyuntik motivasi kepada lebih ramai pelajar untuk mendekati Al Quran dan menggali potensi masing-masing.

Baca juga: “Nak Duit Beli Scooter? Baca Surah Dulu..”- Cara Unik Dr Asyraf Wajdi Didik Anak Cintakan Al-Quran Raih Pujian

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×