Detik yang memilukan apabila seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemui tidak bernyawa dipercayai akibat diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam (23 Julai 2025).
Nampaknya, makin banyak kes melibatkan serangan anjing liar berlaku dan perkara ini tidak boleh dipandang remeh.
Baca juga: “Makanan & Saiz Badan Tak Kena Usia”- Jurulatih Tegur Bapa Abang Aji, Konten Obesiti Dah Melampau
BAYI USIA SETAHUN MAUT DIGIGIT ANJING LIAR , MAK AYAH KERJA

Foto: freepik
Dalam laporan Berita Harian, menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, kejadian disedari sekitar jam 8.15 pagi sebaik sahaja ibu bapa mangsa pulang dari tempat kerja.
“Sebaik tiba di rumah, mereka mendapati pintu rumah terbuka. Tersentak, mereka mula mencari dan akhirnya menemui anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 20 meter dari rumah,” katanya dalam kenyataan.
Tanpa berlengah, pasangan tersebut bergegas membawa anak mereka ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh. Namun, usaha menyelamat gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 pagi oleh pegawai perubatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat luka dan kesan cakaran pada beberapa bahagian tubuh mangsa, termasuk di bahagian kepala,” jelas Mohd Hafiz.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.
Siasatan lanjut mendapati semasa kejadian, kanak-kanak tersebut berada di rumah bersama bapa saudaranya sementara ibu bapanya keluar bekerja. Mereka tidur di ruang tamu, namun kehilangan mangsa hanya disedari selepas jeritan ibu bapanya mengejutkan si bapa saudara.
“Menurut laporan si bapa, anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing,” katanya.

Foto: freepik
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Polis sedang menjalankan siasatan terperinci dan menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang menyayat hati ini.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222, atau terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di 013-4861194.
Baca juga: Budak 5 Tahun Alami Kerosakan Otak & Halusinasi Lepas ‘Overdose’ 10 Biji Gula-Gula Ganja
Sumber: Berita Harian
