Euforia Bola 2026
Inspirasi

Usia 66 Tahun Bukan Halangan, Wanita Ini Tular Angkat Berat 107.5kg Buat Ramai Ternganga!

angkat berat

Ramai menyangka aktiviti angkat berat hanya sesuai untuk golongan muda, namun kisah wanita berusia 66 tahun ini membuktikan sebaliknya. Aksinya melakukan deadlift seberat 107.5 kilogram di sebuah gimnasium dipercayai di Kajang mencuri perhatian ramai sehingga menjadi inspirasi di media sosial.

Video tersebut bukan sahaja menerima ribuan tontonan, malah turut mengubah persepsi ramai bahawa latihan kekuatan boleh dilakukan tanpa mengira usia jika dilakukan dengan teknik yang betul dan secara konsisten.

Baca juga: Tengku Umayr ‘Akef Berdiri 15 Jam Cemerlang Syahadah Ula, Pengiktirafan Tertinggi Hafazan Al-Quran Tanpa Salah

WANITA USIA 66 TAHUN TULAR ANGKAT BERAT 107.5 KG!

angkat berat

Tangkap layar video di Threads.

Angkat 107.5kg Dengan Teknik Kemas

Rakaman yang dikongsikan pengguna Threads @ainasakina, memaparkan wanita itu melakukan conventional deadlift menggunakan teknik mixed grip bersama tali pinggang sokongan (lifting belt), tanpa menggunakan tali bantuan genggaman (grip straps).

Apa yang lebih mengagumkan, pergerakan angkatan itu kelihatan lancar, terkawal dan stabil dari awal hingga akhir.

Menurut perkongsian tersebut, wanita berkenaan mempunyai berat badan sekitar 57 kilogram dan telah menjalani latihan kekuatan secara konsisten selama enam tahun.

Perkongsian itu turut disertakan dengan mesej menyentuh hati buat mereka yang sering mempersoalkan mengapa wanita berusia masih mahu mengangkat beban berat.

“Kalau orang tanya kenapa masih mahu angkat berat pada usia begini, kita tak perlu beri penjelasan. Kalau hidup kita jadi lebih mudah untuk diuruskan, kita teruskan sahaja,” jelasnya.

Kenyataan itu menerima sokongan ramai yang berpendapat latihan kekuatan bukan sekadar mengejar rekod, sebaliknya membantu menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah dan berdikari.

Setaraf atlet elit mengikut piawaian antarabangsa

Menurut New Straits Times, berdasarkan pengiraan piawaian di laman Strength Level, angkatan 107.5kg itu bersamaan kira-kira 1.89 kali ganda berat badannya.

Pencapaian tersebut meletakkan wanita itu pada kategori elit, iaitu lebih kuat berbanding sekitar 98 peratus wanita lain dalam lingkungan umur dan berat badan yang sama.

Ia sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai prestasi luar biasa melalui latihan yang konsisten.

Baca juga: Dulu Pernah Dicemuh & Terpaksa Curi Makanan, Fasa Gelap Masa Kecil Ronaldo Sebelum Bangkit Jadi Atlet Billionaire Dunia!

angkat berat

Tangkap layar video di Threads.

Ramai jadikan inspirasi untuk kekal aktif

Ruangan komen dibanjiri pujian daripada pengguna media sosial, khususnya wanita yang menganggap video tersebut sebagai motivasi untuk mula bersenam.

Antara komen yang dikongsikan termasuk, “Terbaik! Sangat memberi inspirasi.”

Ramai turut kagum kerana wanita itu mampu mengangkat beban tersebut tanpa bantuan grip straps. Ada juga yang berharap video seperti ini dapat menormalisasikan budaya latihan kekuatan dalam kalangan warga emas di Malaysia.

Seorang pengguna berpendapat golongan pesara sepatutnya digalakkan mengunjungi gimnasium selepas bersara, manakala seorang lagi menegaskan bahawa latihan kekuatan penting untuk semua orang tanpa mengira usia.

Apa itu deadlift?

Deadlift ialah salah satu senaman asas latihan kekuatan yang memfokuskan kepada pergerakan mengangkat beban dari lantai menggunakan kuasa pinggul dan kaki.

Senaman ini melatih beberapa kumpulan otot utama seperti:

  • Otot punggung (glutes)
  • Otot belakang paha (hamstrings)
  • Otot belakang
  • Kekuatan genggaman tangan (grip strength)

Teknik yang betul membantu seseorang mengangkat objek harian dengan lebih selamat tanpa terlalu bergantung kepada bahagian bawah belakang.

Mengapa latihan kekuatan penting untuk warga emas?

Pakar kesihatan mengesyorkan latihan kekuatan dilakukan secara berkala kerana ia menawarkan pelbagai manfaat terutama apabila usia meningkat.

Antara manfaatnya ialah:

  • Membantu mengekalkan jisim otot.
  • Menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis.
  • Meningkatkan keseimbangan badan serta mengurangkan risiko jatuh.
  • Memudahkan pergerakan dan aktiviti harian secara lebih berdikari.
  • Meningkatkan kualiti hidup ketika memasuki usia emas.

Namun begitu, warga emas yang ingin memulakan latihan kekuatan disarankan mendapatkan nasihat doktor atau jurulatih bertauliah terlebih dahulu, terutama jika mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Baca juga: “Kami Tak Mengalah”- Hilang Sebelah Kaki Akibat Nahas, Dua Beradik Ini Bangkit Berniaga Cendol!

Sumber: Instagram womenliftingparty  & kakigym Threads @ainasakinaNew Straits Times

FT Image: Threads @ainasakina

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×