Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri, Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diputerakan bayi perempuan pada 2 Julai semalam.
Majlis Kesultanan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, bayi perempuan itu dilahirkan pada jam 3.35 petang di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Baca juga: Gadis Luah Sedih Ibu Ayah Tak ‘Wish Birthday’, Respon TokTi Minta Tukar Persepsi Tentang Hari Lahir
TENGKU NATASYA & TENGKU ARIF BENDAHARA TIMANG CAHAYA MATA SULUNG

Cucunda diraja berkenaan merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara dan Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara, serta telah diberikan nama Tengku Nadine Amina Zahra.
Sempena berita gembira itu, seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang atas keputeraan cucunda puteri baginda.
Pada masa sama, warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa syukur dan mendoakan agar Tengku Nadine Amina Zahra dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan serta perlindungan daripada Allah SWT.
Mereka juga mendoakan agar segala urusan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara dan Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara sentiasa dipermudahkan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Selain itu, doa turut dipanjatkan agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar sebagai anakanda yang solehah, dikurniakan keimanan yang teguh, kebijaksanaan serta akhlak yang mulia.
Semoga kehadiran puteri kecil ini menjadi penyejuk hati keluarga diraja serta membawa keberkatan kepada Institusi Kesultanan Pahang.
Terdahulu, Tengku Muhammad Iskandar selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri dalam istiadat perkahwinan diraja di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di Kuantan pada 24 Oktober 2024
Baca juga: Patutlah Harga Durian Musang King Tahun Ini Lebih Murah, Rupanya Diserang ‘Penyakit’ Ini
Sumber: Facebook Kesultanan Pahang
