Selepas lebih sedekad hidup tanpa bekalan elektrik, sebuah keluarga di kawasan pedalaman Ulu Tembeling, Pahang akhirnya boleh menarik nafas lega apabila permohonan pemasangan tiang elektrik mereka mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baca juga: Mengalir Air Mata Bapa Allahyarham Zayn Rayyan, Hak Penjagaan Anak Kedua Diberikan Tanpa Syarat
TIADA BEKALAN ELEKTRIK SELAMA 13 TAHUN DI RUMAH

Perkongsian menyentuh hati itu dibuat oleh Muhammad Ramadhan yang mendedahkan keluarganya telah menunggu selama 13 tahun untuk menikmati bekalan elektrik seperti penduduk lain. Menurutnya, pelbagai permohonan telah dihantar kepada pihak berkaitan namun masih belum menemui jalan penyelesaian.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan termasuk menggunakan bateri kereta bagi mengecas telefon bimbit dan menjalani rutin harian tanpa kemudahan elektrik yang sempurna.
Kisah itu mula mendapat perhatian ramai selepas Ramadhan memuat naik video di TikTok memaparkan dirinya bersama isteri memegang papan tanda bertulis ketika keberangkatan Sultan Abdullah ke sebuah program di kawasan berkenaan.
“Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap,” tulisnya.
Sultan Pahang berhenti dan mendengar sendiri luahan hati serta permohonan keluarga tersebut mengenai kesukaran yang mereka hadapi sejak bertahun-tahun lalu.

Terbaharu, Ramadhan berkongsi berita gembira apabila permohonan pemasangan tiang elektrik itu telah diluluskan dan proses penghantaran tiang ke lokasi sedang dilakukan.
Difahamkan, beberapa tiang elektrik juga sudah tiba di kawasan terbabit dan kerja pemasangan akan dijalankan dalam masa terdekat.
Dalam perkongsian sama, Ramadhan turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan isu berkenaan termasuk Tenaga Nasional Berhad serta individu yang memberi perhatian terhadap nasib keluarganya.
“Insya-Allah, tiang pun sudah sampai dan kini hanya menunggu untuk dipacak dalam masa terdekat. Terima kasih kepada Tuanku. Ampun Tuanku. Terima kasih juga kepada Tenaga Nasional Berhad kerana menjalankan tanggungjawab.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat. Jangan kita salahkan mana-mana pihak,” katanya.
Sumber: TikTok Muhammad Ramadhan
