Aplikasi WhatsApp kini mula memperkenalkan ciri username, sekali gus membolehkan pengguna berhubung tanpa perlu berkongsi nombor telefon.
Ciri baharu ini sedang diperkenalkan secara berperingkat dan pengguna sudah boleh menempah (reserve) username masing-masing sebelum ia dilancarkan sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Baca juga: 16 Bekas Anggota ATM Mula Bertugas Sebagai Warden Di 8 MRSM Mulai 1 Julai 2026
APLIKASI WHATSAPP PERKENAL CIRI ‘USERNAME’

Foto: WhatsApp
Sebelum ini, sesiapa yang ingin menghubungi anda di WhatsApp perlu mengetahui nombor telefon terlebih dahulu. Namun dengan adanya username hanya perlu berkongsi nama pengguna yang dipilih.
Ini sangat berguna apabila ingin berhubung dengan kenalan baharu, menyertai kumpulan komuniti atau berurusan dengan individu yang tidak begitu dikenali tanpa mendedahkan nombor telefon peribadi.
Apabila ciri ini diaktifkan, individu atau perniagaan yang menghantar mesej buat kali pertama tidak lagi akan melihat nombor telefon.
Tiada Carian Awam Untuk Username
Menurut WhatsApp, ciri ini dibangunkan dengan memberi keutamaan kepada aspek privasi.
Berbeza dengan platform media sosial lain, WhatsApp tidak menyediakan direktori atau senarai carian username. Ini bermakna orang lain perlu mengetahui username yang tepat untuk menghubungi anda.
Malah, WhatsApp turut menyediakan pilihan username key, iaitu kod tambahan yang boleh digunakan bagi mengawal siapa yang dibenarkan menghantar mesej kepada anda melalui username.
Boleh Tempah Username Lebih Awal

Foto: Whatsapp
WhatsApp membuka tempahan awal supaya pengguna berpeluang mendapatkan username yang diingini sebelum ia digunakan oleh orang lain.
Bagi mereka yang tidak pasti mahu menggunakan nama apa, WhatsApp turut menyediakan cadangan username secara automatik.
Sementara itu, pencipta kandungan, perniagaan kecil dan organisasi juga boleh menuntut username yang sama seperti akaun Instagram atau Facebook mereka bagi memastikan identiti jenama kekal konsisten di semua platform.
Cara Tempah Username di Aplikasi WhatsApp
Jika ciri ini sudah tersedia pada akaun anda, ikuti langkah berikut untuk menempah username,
- Kemas kini aplikasi WhatsApp kepada versi terkini.
- Buka Settings.
- Pilih Account.
- Tekan Username.
- Pilih dan simpan username yang anda inginkan.
Sekiranya pilihan tersebut masih belum muncul, WhatsApp akan mengaktifkan ciri ini secara berperingkat mengikut negara dan pengguna. Pengguna juga akan menerima notifikasi dalam aplikasi apabila ia tersedia.
Dengan ciri username ini, WhatsApp menawarkan satu lagi lapisan privasi kepada pengguna, selain memudahkan urusan berhubung tanpa perlu berkongsi nombor telefon kepada semua orang.
Baca juga: Jangan Sembunyi Masalah Kemaluan Berbau Dengan Pewangi! Ini 5 Tanda Anda Perlu Segera Jumpa Doktor
Sumber: Threads @xaviernaxa dan Whatsapp
