Isu data peribadi membabitkan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menjadi perhatian ramai selepas beliau mendakwa maklumat bil telefon peribadinya tersebar di media sosial tanpa kebenaran.
Apa yang lebih membimbangkan, butiran bil tersebut didakwa diketahui oleh individu lain sebelum dikongsikan secara terbuka di Threads. Berikut kronologi penuhnya.
Baca juga: Ramai Tak Sedar! Bergaji RM3,255 Sebulan Mungkin Buat Anda Dah ‘Terkeluar’ Daripada Kategori B40
KRONOLOGI ISU DATA PERIBADI KHAIRUL AMING BOCOR

20 Julai 2026 – Khairul Aming persoal kebocoran bil telefon
Menerusi hantaran di platform Threads pada Isnin, Khairul Aming meminta penjelasan daripada sebuah syarikat telekomunikasi mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya.
“Mohon penjelasan daripada pihak telco macam mana bil telefon saya boleh bocor,” katanya.
Isu itu timbul selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon beliau, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 serta mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).
Namun Khairul Aming menegaskan jumlah bil bukan isu utama kerana ia adalah urusan peribadi.
“Tak perlu beritahu sebab ini hal peribadi saya. Saya memang bayar lebih awal untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan baki dah berkurangan.
“Tapi yang jadi ‘menyeramkan’ macam mana awak boleh tahu maklumat bil telefon saya ni sampai buat hantaran kepada umum?Ini data peribadi saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan persoalan sebenar ialah bagaimana maklumat akaun peribadinya boleh diketahui dan dikongsi kepada umum tanpa kebenaran.
Hantaran itu kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mempersoalkan aspek keselamatan dan kerahsiaan data pelanggan.
Baca juga: Bukan Jual Mahal, Ini 7 Sebab Wanita Bijak Selalunya Masih ‘Single’…Ramai Angguk Setuju!
21 Julai 2026 – Fahmi Fadzil sifatkan isu ini membimbangkan
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan bahawa penyebaran maklumat bil telefon peribadi seseorang adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Beliau menyifatkan aduan yang dibuat Khairul Aming sebagai sesuatu yang membimbangkan dan memaklumkan sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi terbabit.
“Saya akan minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan laporan penuh.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang melihat insiden yang serupa dengan ini, sila buat laporan dengan pihak MCMC di aduan.mcmc.gov.my supaya kita ada rekod maklumat dan bukti untuk kita ambil tindakan susulan,” katanya semalam selepas merasmikan Persidangan Regulatori Antarabangsa (IRC) 2026.
Fahmi turut menegaskan bahawa mana-mana individu tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi orang lain atau sistem milik syarikat telekomunikasi.
“Ini termasuk kepada sesiapa yang dengan sengaja menyebarkan maklumat Personally Identifiable Information (PII), ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
“Maka tindakan-tindakan susulan boleh diambil berdasarkan akta itu.
“Tapi kita minta pengguna buat laporan polis dan juga laporan kepada pihak MCMC,” katanya.

Baca juga: Ramai Graduan B40 & M40 Terlepas, Pengecualian PTPTN Kelas Pertama Masih Ada… Ini Syaratnya!
21 Julai 2026 (petang) – Syarikat telekomunikasi sahkan individu sudah dikenal pasti
Pada petang hari yang sama, syarikat telekomunikasi terbabit mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Menurut syarikat itu, mereka sudah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan kebocoran maklumat akaun bil telefon Khairul Aming dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang.
“Kami sedang menyiasat satu insiden yang tular di media sosial malam tadi berkenaan butiran akaun seorang pelanggan.
“Kami telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden ini dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang.
“Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya turut menjelaskan hasil siasatan awal mendapati ia adalah insiden terpencil yang berlaku akibat tindakan tanpa kebenaran, dan setakat ini tiada petunjuk bahawa pelanggan lain turut terjejas.
Syarikat itu juga memaklumkan telah menghubungi Khairul Aming bagi memberikan penerangan lanjut mengenai insiden tersebut.
KENAPA ISU INI JADI PERHATIAN RAMAI?
Kes ini dianggap serius kerana melibatkan kebocoran maklumat pelanggan, termasuk butiran bil telefon yang sepatutnya dilindungi oleh penyedia perkhidmatan.
Ramai pengguna media sosial melihat insiden ini sebagai peringatan tentang pentingnya perlindungan data peribadi dan keselamatan maklumat pengguna, terutama apabila maklumat tersebut boleh diakses dan disebarkan tanpa kebenaran pemilik akaun.
Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak berkuasa meminta orang ramai membuat laporan sekiranya pernah mengalami insiden kebocoran data yang serupa.
Sumber: Threads Khairul Aming / Sinar Harian / Harian Metro (1) (2)
FT Image: Instagram
