Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memperkenalkan satu inisiatif baharu yang membolehkan rakyat berinteraksi dengan avatar kecerdasan buatan (AI) menerusi aplikasi WhatsApp. Dikenali sebagai PMX AI, avatar ini berfungsi sebagai saluran komunikasi digital yang membolehkan orang ramai berkongsi pandangan, kebimbangan serta aspirasi mengenai pelbagai isu berkaitan negara.
Baca juga: Boleh Ke Baca Al-Quran Guna Tulisan Rumi? Ini Penjelasan Mufti Yang Ramai WAJIB Tahu
PMX AI KINI DI WHATSAPP, RAKYAT BOLEH TERUS MESEJ PERDANA MENTERI

Foto: Skrip Global
Pelancaran PMX AI diumumkan sendiri oleh Anwar Ibrahim pada Sabtu menerusi satu video di media sosial.
Menurut beliau, Malaysia dibina atas kepelbagaian rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya. Oleh itu, kerajaan mahu terus mendengar suara rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berharap golongan muda, ibu bapa, warga emas dan seluruh rakyat Malaysia dapat menggunakan platform ini untuk berkongsi idea serta pandangan secara terus.
“Saya amat berharap bahawa kalian boleh kongsikan pandangan, kebimbangan, dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya ia berpaksi pada suara dan kehendak rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengajak orang ramai menyertai inisiatif tersebut bagi mewujudkan perbincangan atau wacana yang lebih segar demi pembangunan negara.
AI PMX Disifatkan Sebagai ‘Kembar Digital’

Foto: Threads @amanz.my
Dalam video pelancaran itu, Anwar menyifatkan PMX AI sebagai “kembar digital” yang diinspirasikan daripada nilai, prinsip dan visinya sebagai Perdana Menteri.
Avatar AI ini diwujudkan sebagai medium baharu yang membolehkan rakyat berinteraksi dengan lebih mudah, selain menjadi ruang untuk meneroka idea dan cadangan yang boleh memberi manfaat kepada negara.
Cara Hubungi PMX Di WhatsApp
Bagi mereka yang ingin mencuba, avatar PMX AI boleh dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di nombor berikut:
+60 3-7885 0523
Pengguna hanya perlu menyimpan nombor tersebut dan memulakan perbualan melalui WhatsApp untuk berinteraksi dengan avatar AI berkenaan.
Walau bagaimanapun, orang ramai perlu mengambil maklum bahawa PMX AI ialah avatar kecerdasan buatan dan bukannya komunikasi secara langsung dengan Perdana Menteri sendiri.
Inisiatif ini dilihat sebagai antara usaha memanfaatkan teknologi AI bagi memperluaskan saluran komunikasi antara pemimpin dan rakyat dalam era digital.
Baca juga: Ibu Kutip Sisa Makanan Kenduri, Cuci & Masak Semula Demi Anak-Anak, Kisah Ini Undang Air Mata..
Sumber: X @anwaribrahim
