Euforia Bola 2026
Sihat

Anak Sawan Atau Tak Sedarkan Diri? Mak Ayah Jangan Sibuk Merakam, Tindakan Pantas Boleh Selamatkan Nyawa

Dalam era media sosial hari ini, ramai ibu bapa memilih untuk merakam keadaan anak sawan atau tidak sedarkan diri bagi mendapatkan pandangan doktor dan memudahkan proses diagnosis.

Rakaman video sememangnya boleh membantu petugas kesihatan mengenal pasti corak sawan yang dialami seseorang pesakit. Menerusi video, doktor dapat menilai tempoh sawan berlaku, pergerakan tangan dan kaki, arah pandangan mata, perubahan warna bibir, corak pernafasan serta tahap kesedaran pesakit selepas kejadian tersebut.

Baca juga: Kajian Saintifik Dedah Perap Daging Dengan Bawang Merah & Bawang Putih Boleh Kurangkan Bahan Punca Kanser!

RAKAM ANAK SAWAN KETIKA MEMANDU

ANAK SAWAN

Kredit: Magnific

Bagaimanapun, menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), terdapat satu perkara penting yang perlu difahami oleh ibu bapa, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan melibatkan anak.

PHM menjelaskan bahawa saranan doktor untuk merakam episod sawan bukan bermaksud ibu bapa wajib berbuat demikian dalam apa jua keadaan.

Sebaliknya, rakaman hanya perlu dilakukan jika keadaan mengizinkan dan tidak menjejaskan aspek keselamatan, terutama jika ibu atau bapa sedang memandu kenderaan ketika kejadian berlaku.

“Pesanan doktor untuk merakam sawan bukan bermaksud ibu bapa wajib merakam dalam apa jua keadaan. Doktor tidak pernah menyuruh atau memaksa ibu bapa merakam jika keadaan tidak mengizinkan, apatah lagi jika anda sedang memandu,” jelas PHM menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut mereka, sekiranya sawan berlaku ketika berada di dalam kereta dan ibu atau bapa sedang memegang stereng, perkara paling penting ialah memastikan keselamatan semua penumpang serta membawa anak mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Dalam situasi tersebut, ibu bapa tidak perlu berasa bersalah jika gagal merakam kejadian berkenaan. Fokus utama seharusnya diberikan kepada pemanduan yang selamat, mencari lokasi sesuai untuk berhenti jika perlu atau terus menuju ke fasiliti kesihatan dengan cara yang paling selamat.

Sekiranya terdapat penumpang lain di dalam kenderaan, mereka boleh membantu merakam video untuk ditunjukkan kepada doktor. Namun jika tiada individu lain yang boleh membantu, keselamatan tetap perlu menjadi keutamaan.

ANAK SAWAN

Kredit: Gemini AI (Sekadar gambar hiasan)

PHM turut menegaskan bahawa walaupun tiada rakaman video, doktor masih boleh mendapatkan maklumat penting melalui pemerhatian ibu bapa terhadap keadaan anak semasa sawan berlaku.

Antara perkara yang disarankan untuk diingati termasuk waktu sawan bermula, tempoh sawan berlaku, sama ada badan anak menjadi kaku atau mengalami pergerakan tersentak-sentak, perubahan warna bibir serta tahap kesedaran anak selepas kejadian tersebut.

Maklumat seperti ini juga sangat membantu doktor dalam menilai keadaan pesakit dan menentukan rawatan yang sesuai.

Dalam pada itu, PHM mengingatkan bahawa niat ibu bapa untuk merakam kejadian sawan adalah sesuatu yang baik kerana ia boleh membantu proses diagnosis. Namun begitu, keselamatan tidak seharusnya dikompromi demi mendapatkan rakaman video.

Apa yang lebih penting adalah memastikan anak menerima bantuan dan rawatan perubatan dengan segera serta selamat, berbanding terlalu fokus untuk merakam setiap detik ketika kecemasan berlaku.

Baca juga: Darah Beku Saiz ‘Anak Cacing’ Sumbat Saluran Jantung, Pesakit Usia 60 Tahun Hampir Maut

Sumber: Facebook Public Health Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×