Euforia Bola 2026
Nur

“Jangan Masuk Hutan Kosong” Warga Maya Titip Doa, Adab & Tip Keselamatan Penting Cegah Tragedi Hilang

doa masuk hutan

Sejak beberapa kes kehilangan pendaki menjadi perhatian ramai kebelakangan ini, warga maya mula berkongsi semula tentang doa masuk hutan, adab serta tip keselamatan yang sering diingatkan sebelum melakukan aktiviti mendaki, berkhemah atau merentas hutan.

Masing-masing berkongsi pandangan daripada sudut berbeza. Di mana, satu menekankan soal persediaan rohani, manakala satu lagi lebih kepada pesanan keselamatan dan keadaan fizikal ketika berada dalam hutan.

Baca juga: “Doa Di Hari Arafah Memang Real Mustajab”- Wanita Kongsi Hamil 3 Bulan Lepas Minta Zuriat & Terus Sujud Syukur

ADAB, PESANAN DAN DOA MASUK HUTAN UNTUK PENDAKI

doa masuk hutan

Gambar hiasan: Gemini AI

Doa masuk hutan sebagai ikhtiar perlindungan diri

Seorang pengguna Facebook, HudAnuar Han berkongsi beberapa amalan yang boleh dijadikan ikhtiar sebelum memasuki kawasan hutan, khususnya bagi pendaki Muslim.

Menurut perkongsian tersebut, sebelum masuk ke kawasan hutan disarankan memulakan bacaan dengan Surah Al-Fatihah, diikuti selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

Selepas itu, diikuti bacaan ayat ini:

بِسْمِ اللهِ الذِّي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ

Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim

Maksud: “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Kemudian, baca ayat ini ketika melangkah ke dalam hutan dengan perlahan-lahan sebanyak 7 langkah dan dibacakan pada setiap langkah.

سَلاَمٌ عَلىَ نُوْحٍ فِي العَالَمِيْنَ

Salamun ‘ala nuhin fil ‘alamiin

“Sejahtera ke atas Nabi Nuh di seluruh alam”

Ayat ini untuk menghindarkan binatang buas dan berbisa, dengan izin Allah SWT.

سَلَامٌ عَلَى سُلَيْمَانَ فِى الْعَالَمِيْنَ

Salamun ‘ala sulaimana fil ‘alamiinn

“Sejahtera ke atas Nabi Sulaiman di seluruh alam”

Ayat ini untuk menghindarkan gangguan makhluk halus, jin dan syaitan dengan izin Allah SWT.

Kemudian diakhiri dengan:

إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

Innaka hamiidun majiid

“Sesungguhnya Engkau (Allah SWT) Maha Terpuji lagi Maha Mulia”

Dalam perkongsian sama, dia turut mengingatkan agar tidak melafazkan ungkapan seperti “Tok, cucu tumpang masuk hutan” atau seumpamanya kerana sebagai Muslim, pergantungan dan perlindungan hanya kepada Allah SWT.

“Ikhtiar fizikal penting. Ikhtiar rohani pun jangan tinggal. Semoga semua yang mendaki sentiasa dilindungi,” tulisnya.

Baca juga: 7 Destinasi ‘Healing’ Di Malaysia Yang Bukan Sahaja Cantik Tapi Ada Sumber Air Mineral Semula Jadi

doa masuk hutan

Gambar: HudAnuar Han

Jangan tinggal bersendirian ketika masuk hutan

Sementara itu, seorang pengguna Threads dikenali sebagai @oppa.dosan pula berkongsi beberapa pesanan keselamatan yang sering diingatkan oleh orang lama ketika melakukan aktiviti dalam hutan.

Antara perkara yang ditekankan ialah mengelakkan diri daripada terlalu yakin, bercakap besar atau mencabar sesuatu ketika berada di kawasan hutan.

Dia juga menasihatkan supaya tidak sesekali bergerak bersendirian, terutama jika aktiviti melibatkan laluan jauh atau kawasan sukar.

“Kalau aktiviti yang terpaksa juga kena pergi atau dah berbayar, jangan sesekali tinggal bersendirian. Ikut berkumpulan, kalau boleh ikat tali atau clip sesama kumpulan supaya tak tertinggal sendirian,” katanya.

Menurut perkongsian itu lagi, seseorang lebih mudah tersesat apabila terpisah daripada kumpulan dan hilang kebergantungan arah.

Baca juga: Terbongkar! ‘Hidden Gems’ Di Setiap 14 Negeri Yang Orang Ramai Belum Habis Teroka

Wanita masuk hutan ketika haid, ini pandangan yang dikongsi

Dalam perkongsian sama, dia turut menyentuh mengenai nasihat orang lama berkaitan wanita yang ingin masuk hutan ketika sedang datang haid.

Menurutnya, ada kepercayaan tradisional yang menasihatkan supaya wanita mengelakkan aktiviti hutan ketika sedang “berdarah”.

Bagaimanapun, dia turut mengaitkannya dengan faktor logik dan fizikal, seperti badan lebih cepat letih, emosi tidak stabil atau risiko kurang selesa ketika berada dalam kawasan hutan yang mencabar.

Dia turut mengakui bahawa ada yang mempercayainya dan ada juga yang menganggapnya sekadar pantang lama.

Kesimpulan

Walau apa pun pandangan masing-masing, dua perkongsian ini membawa mesej yang hampir sama iaitu jangan memandang ringan soal keselamatan ketika masuk hutan.

Selain persiapan fizikal dan kelengkapan mencukupi, disiplin berkumpulan, keadaan tubuh badan serta persediaan rohani juga boleh menjadi antara perkara penting sebelum memulakan pendakian.

Sumber: Facebook HudAnuar Han / Threads @oppa.dosan

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×