Program TVET MARA sekali lagi menjadi perhatian apabila kisah seorang anak yatim yang dahulunya serba kekurangan kini berjaya membina kerjaya dengan pendapatan stabil dalam bidang kemahiran tinggi.
Menurut Dr. Asyraf, anak angkatnya, Mohamad Muiz Suhaizi, berkongsi berita gembira itu ketika selesai program pengagihan daging korban melibatkan 10 ekor lembu kepada lebih 130 anak yatim yang pernah menerima manfaat daripada keluarganya di Kampung Selehor, Tumpat.
Baca juga: Dua Kanak-Kanak Usia 9 & 6 Tahun Berjaya Tawan Gunung Kinabalu, Lengkapkan Pendakian Hampir 18 Jam!
TVET MARA BUAT HIDUP ANAK YATIM INI BERUBAH, GAJI LEBIH RM3500

“Terima kasih ya bantu saya sejak dari zaman sekolah lagi. Alhamdulillah nak maklumkan saya berjaya bekerja dengan syarikat yang mengecat kapal terbang Airbus 320 dengan gaji lebih RM3,500,” kata Muiz seperti dikongsikan Dr. Asyraf.
Apa yang lebih membanggakan, Muiz dikatakan hanya berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 daripada GiatMARA Tumpat dalam bidang baik pulih dan mengecat kenderaan.
Dalam tempoh hanya sembilan bulan bekerja, anak muda itu kini berjaya memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM3,500.
Dr. Asyraf menjelaskan, Mohamad Muiz merupakan anak yatim yang dijadikan anak angkat di bawah yayasan keluarganya, Darul Hanan sejak masih bersekolah.
Anak keempat daripada lima beradik itu membesar dalam keadaan serba mencabar selepas bapanya meninggal dunia, manakala ibunya hanya melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga.
Menurut beliau, sepanjang membimbing anak-anak angkat di bawah yayasan berkenaan, satu perkara yang sering ditekankan ialah kepentingan ilmu dan kemahiran sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya selalu tekankan kepada semua anak-anak angkat kami, hanya ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan. Jika hanya mengharapkan bantuan bulanan semata-mata, ia tidak menjanjikan perubahan sebesar ilmu dan kemahiran,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Asyraf turut menyifatkan institusi pendidikan berasaskan kemahiran seperti TVET MARA sebagai platform penting yang mampu mengubah masa depan golongan muda.
Beliau berpandangan bahawa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang baik, malah perlu menjadi pilihan utama dalam usaha membina masa depan negara.
Perkongsian itu turut menjadi inspirasi kepada ramai pihak mengenai bagaimana pendidikan kemahiran mampu menjadi pemangkin perubahan hidup, terutama buat golongan kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
