Bagi warga kota khususnya di Lembah Klang, LRT Laluan Kelana Jaya bukan sekadar pengangkutan awam biasa, malah menjadi nadi utama pergerakan harian ke tempat kerja, universiti dan urusan seharian.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengguna sering berdepan situasi tren sesak, kelewatan perjalanan serta gangguan teknikal yang menguji kesabaran ramai terutama pada waktu puncak.
Baca juga: Tren Buat Hal Sampai Lambat Masuk Office? Rupanya Anda Boleh Minta ‘Slip Bukti’ Ini & Tunjuk Bos
26 TREN BARU LRT LALUAN KELANA JAYA BAKAL BEROPERASI TAHUN 2029

Foto: MRT
Kini, berita baik diumumkan apabila Rapid Rail Sdn Bhd bakal menggantikan sebanyak 26 set tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya secara berperingkat bermula tahun 2029.
Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof berkata, penggantian tren itu merupakan sebahagian daripada pelan penambahbaikan jangka panjang bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan operasi selain menampung pertambahan jumlah penumpang yang semakin meningkat setiap tahun.
Menurutnya, tren pertama dijadual tiba pada tahun 2029 sebelum keseluruhan proses penggantian disasarkan selesai menjelang hujung 2030.
Langkah tersebut dilihat mampu memberi kelegaan kepada pengguna yang selama ini terpaksa berhimpit dalam keadaan sesak terutama ketika waktu puncak sehingga diibaratkan seperti “tin sardin”.
Laluan Kelana Jaya Sudah Beroperasi Sejak 1998

Foto: NST
Untuk rekod, Laluan Kelana Jaya mula beroperasi sejak tahun 1998 dan merupakan antara sistem tren automatik penuh paling lama digunakan di dunia.
Dengan purata lebih 289,000 pengguna sehari, sistem sedia ada kini berdepan tekanan tinggi susulan peningkatan penumpang yang semakin mendadak setiap tahun.
Keadaan itu turut menyumbang kepada beberapa gangguan operasi termasuk kerosakan teknikal yang pernah mencetuskan rungutan pengguna sebelum ini.
Rapid Rail bagaimanapun memaklumkan bahawa pihak mereka kini melaksanakan pendekatan penyelenggaraan lebih proaktif menerusi sistem Condition Based Maintenance (CBM).
Melalui kaedah itu, setiap komponen tren diperiksa dengan lebih kerap dan akan diganti lebih awal sekiranya terdapat tanda-tanda kerosakan tanpa perlu menunggu tempoh jadual penyelenggaraan asal.
Sistem Isyarat dan Keselamatan Turut Dinaik Taraf
Selain penggantian tren, Rapid Rail dan Prasarana turut menjalankan pelbagai penaiktarafan besar melibatkan sistem operasi Laluan Kelana Jaya.
Antaranya termasuk naik taraf sistem radio komunikasi, kamera litar tertutup (CCTV) digital serta sistem Automatic Train Control (ATC) yang menggunakan teknologi terkini.
Malah, beberapa penambahbaikan keselamatan turut dilaksanakan seperti pemasangan pintu platform automatik, Passenger Screen Door System (PSDS) dan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES).
Usaha ini bertujuan memastikan operasi tren menjadi lebih stabil, selamat dan efisien untuk jangka masa panjang.
Gangguan Dijangka Berkurangan Secara Berperingkat
Menurut pihak Rapid Rail, pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan kini menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah gangguan perkhidmatan berjaya dikurangkan berbanding sebelumnya.
Kekerapan tren ketika waktu puncak juga semakin baik dengan masa menunggu yang lebih singkat berbanding tahun-tahun lalu.
Dalam masa sama, Rapid Troopers dan Transit Officer turut ditempatkan di stesen serta di dalam tren bagi membantu mengawal aliran penumpang dan mempercepatkan tindakan jika berlaku kecemasan atau masalah teknikal.
Dengan ketibaan 26 set tren baharu nanti, pengguna dijangka menikmati perjalanan yang lebih selesa, lancar dan kurang sesak sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara.
Baca juga: Marah Basikal Terkena Kaki, Pelajar Tingkatan 5 Tendang Budak 10 Tahun Hingga Patah Rahang
Sumber: Berita Harian
