Seorang guru wanita berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas beberapa pertuduhan melibatkan dakwaan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.
GURU WANITA KENA 5 PERTUDUHAN

Gambar Ahmad Hasbi (NSTP): Nurul Asyikin Sutan Shahril (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian kerana ia melibatkan hubungan amanah antara seorang pendidik dan murid di bawah jagaannya.
Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut didakwa berlaku di beberapa lokasi termasuk di bawah pokok di hadapan sebuah taman apartment di Seremban 2 serta di sebuah rumah di Taman Nusa Intan.
Perbuatan itu didakwa berlaku dalam tempoh antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.
Tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta 792 dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama masing-masing dengan cara menunjukkan gambar alat sulitnya melalui WhatsApp bagi maksud seksual dan mendorong mangsa menghantar gambar sama antara 13 September 2025 hingga 10 April 2026 di sebuah bilik apartmen di Seremban 2.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta 792 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen itu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Gambar Mohd. Shahjehan Maamin (Utusan)
Jaminan RM25,000 ditetapkan mahkamah
Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa atau saksi.
Peguam tertuduh, Zaflee Pakwanteh pula memohon jumlah jaminan dikurangkan atas faktor pendapatan RM6,000 sebulan sebagai guru.
Difahamkan, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain memaklumkan jumlah jaminan yang mampu dibayar anak guamnya adalah sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
Tertuduh turut dilaporkan telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat.
Sumber: Berita Harian
FT Image: Mohd. Shahjehan Maamin / Ahmad Hasbi
