Euforia Bola 2026
Nur

Betul Ke Tak Boleh Buat Ibadah Korban Untuk Si Mati Kecuali Ada Wasiat? Mufti Jelas 3 Hukum Anda Kena Faham

ibadah korban

Niat mahu melakukan ibadah korban untuk arwah ibu bapa sememangnya sesuatu yang baik dan lahir daripada rasa kasih terhadap insan tersayang. Namun sebelum melakukannya, ada baiknya untuk memahami terlebih dahulu hukum serta pandangan ulama supaya amalan yang dibuat lebih jelas dan menenangkan hati.

Malah, persoalan sama ada korban boleh dilakukan untuk orang yang telah meninggal dunia sering dibangkitkan setiap kali menjelang Aidiladha. Ada yang beranggapan ia dibolehkan, manakala sebahagian lagi berpendapat perlu ada syarat tertentu sebelum ia boleh dilakukan.

Baca juga: Pendakwah Jelaskan Kenapa Daging Korban Perlu Masuk Chiller 7 Jam, Kemudian Baru Boleh Masak

3 PANDANGAN ULAMA MENGENAI BUAT IBADAH KORBAN UNTUK ORANG MENINGGAL DUNIA

ibadah korban

Gambar hiasan: Gemini AI

Menurut penjelasan Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, isu ini sebenarnya termasuk dalam perkara khilaf atau mempunyai perbezaan pandangan dalam kalangan ulama fiqh.

1. Dibolehkan lakukan korban untuk si mati

Pandangan pertama menyatakan bahawa korban untuk orang yang telah meninggal dunia adalah dibolehkan dan pahala amalan tersebut boleh sampai kepada si mati.

Ini merupakan pendapat majoriti ulama (jumhur) termasuk mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebahagian ulama Syafi’i. Antara sandaran utama ialah hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa ketika menyembelih korban, Rasulullah SAW menyebut:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.” (Riwayat Muslim (1967) dan selainnya)

Menurut ulama, hadis ini menjadi antara dalil bahawa ibadah korban boleh dilakukan untuk umat Islam termasuk mereka yang telah meninggal dunia.

Imam al-Kasani Rahimahullah turut menjelaskan:

“dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda SAW dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad SAW itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..” [Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72]

Sementara itu, Ibn ‘Abidin Rahimahullah berkata:

“Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih.” [Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326]

Malah, ulama mazhab Hanbali pula menyebutkan:

“Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah.” [Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472]

Baca juga: Panduan & Niat Mandi Sunat Aidiladha, Persediaan Sambut Hari Raya Dengan Jiwa Yang Suci

ibadah korban

Gambar hiasan: Gemini AI

2. Makruh lakukan korban untuk si mati

Pandangan kedua pula menyatakan bahawa hukumnya makruh. Menurut sebahagian ulama mazhab Maliki, korban untuk si mati tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada unsur riak atau bermegah-megah.

Al-Kharshi Rahimahullah menyebut:

“Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya.” [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42]

3. Tidak boleh kecuali ada wasiat si mati

Pandangan ketiga pula menyatakan bahawa korban untuk si mati tidak dibolehkan kecuali individu tersebut pernah mewasiatkannya sebelum meninggal dunia. Ini merupakan pandangan majoriti ulama mazhab Syafi’i.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata:

“Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321]

Baca juga: Rindu Yang Tak Akan Pernah Hilang…Ini Koleksi Doa Indah Buat Arwah Ibu Tercinta Sempena Hari Ibu

Kesimpulan

Walaupun terdapat khilaf pandangan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan mereka lebih cenderung kepada pendapat ketiga iaitu pandangan majoriti mazhab Syafi’i, perlu ada wasiat daripada si mati untuk melakukan korban bagi pihaknya.

Namun begitu, mereka turut tidak menafikan adanya sebahagian ulama Syafi’i yang berpandangan korban masih sah dilakukan walaupun tanpa wasiat.

Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah menjelaskan:

“(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya.” [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]

Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×