Kebolehan mengajar tulisan jawi pernah membuatkan seorang guru dari pedalaman Sabah menjadi perhatian ramai di media sosial.
Kini, nama Cikgu Lorenica Frenila Masundim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Loren sekali lagi mencuri perhatian apabila beliau berjaya membangunkan aplikasi pembelajaran Jawi sendiri demi membantu murid dan masyarakat menguasai kemahiran membaca tulisan tersebut dengan lebih mudah.
DULU TULAR AJAR TULISAN JAWI, KINI CIKGU LORENICA BANGUNKAN APLIKASI

Facebook Cikgu Loren
Di sebalik tugas sebagai guru di kawasan pedalaman, Cikgu Loren bukan sekadar mendidik di dalam bilik darjah, malah menjadi pembimbing dan sumber harapan kepada masyarakat setempat untuk keluar daripada kepompong kehidupan susah.
Mengajar di kawasan terpencil bukan sesuatu yang mudah. Guru-guru di pedalaman terpaksa meredah jalan balak, sungai, lumpur dan cuaca tidak menentu demi memastikan anak-anak terus mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.
Namun cabaran itu tidak pernah mematahkan semangat Cikgu Loren untuk terus berbakti, malah beliau mengambil satu langkah lebih besar dengan menghasilkan aplikasi pembelajaran Jawi yang dinamakan PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج).
Bina aplikasi Jawi demi bantu murid & masyarakat
Menurut laporan Utusan Malaysia, projek berkenaan mula dibangunkan sejak tahun 2025 sebagai sebahagian daripada kajian peringkat doktor falsafah (PhD.) beliau di bawah tajaan Kementerian Pendidikan menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLPS).
Aplikasi itu dihasilkan bagi membantu murid serta guru yang baru mengenali tulisan Jawi supaya dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih mudah dan pantas.
Menariknya, aplikasi tersebut bukan hanya sesuai digunakan di sekolah, malah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan agama.
Bagi memastikan keberkesanannya, aplikasi itu telah melalui lima kali penambahbaikan sejak mula dibangunkan.
Draf pertama PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) 1.0 menerima anugerah perak dalam International Teaching and Learning Innovation Competition 2025 (i-TLIC).
Versi 2.0 pula menerima anugerah emas dan anugerah khas dalam Pertandingan Inovasi Alam Melayu (IMAN25), manakala versi 3.0 meraih Anugerah Emas dalam Virtual Innovation Competition Exhibition VICE’25.
Terbaharu, versi 4.0 telah dibentangkan dalam pertandingan Anugerah Guru Inovatif (AGI 2026), manakala versi lebih interaktif iaitu PASCA-ج 5.0 dijadual dipamerkan dan dipertandingkan di Jakarta, Indonesia pada Jun nanti.
Menurut Cikgu Loren, aplikasi itu kelak boleh digunakan oleh masyarakat dalam dan luar negara yang boleh berbahasa Melayu dan bakal dimuat turun menerusi Play Store serta App Store apabila siap sepenuhnya.
Maka pemilihan tema hari guru pada tahun ini Guru Bitara Nadi Negara amat bermakna bagi guru yang mengajar di pedalaman seperti Cikgu Loren, memandangkan banyak cabaran sebagai guru yang memerlukan kebitaraan dalam menyempurnakan tugas dan amanah sebagai pembimbing anak bangsa.

Gambar: Utusan Malaysia
Pernah tular ajar tulisan Jawi, buat ramai kagum
Sebenarnya, ini bukan kali pertama nama Cikgu Loren menjadi perhatian ramai.
Sekitar tahun 2024, guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran, Sabah itu pernah tular selepas berkongsi video ketika mengajar tulisan Jawi kepada murid-muridnya di Facebook dan kini meraih lebih 1.4 juta tontonan.
Apa yang membuatkan ramai kagum adalah beliau merupakan guru bukan Islam, namun mampu mengajar Jawi dengan baik kepada murid-murid sekolah.
Menurut Cikgu Loren, tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada kurikulum Bahasa Malaysia bagi murid tahun empat hingga enam sejak tahun 2020 yang bertujuan membiasakan generasi muda dengan seni, warisan dan sejarah budaya Melayu.
“Saya rakamkan video itu sebagai kenang-kenangan. Setelah tamat pelajaran Jawi tahun ini, saya akan menyambung semula tahun depan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pandangannya tentang kepentingan mengenali warisan tulisan tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, penting untuk mengetahui tentang skrip sejarah ini. Mari kita hidup dengan aman tanpa negatif,” tambah Loren.
Usaha dan dedikasi beliau telah menerima pujian ramai, termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Dengan segala pencapaian diraih hari ini, kisah Cikgu Loren jelas membuktikan bahawa kekangan lokasi dan cabaran hidup di pedalaman bukan penghalang untuk terus berbakti serta mencipta perubahan besar dalam dunia pendidikan.
Sumber: Utusan Malaysia / Facebook Loren Fren
FT Image: Loren Fren / Utusan Malaysia
