Tulisan kaligrafi indah seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mencuri perhatian ramai apabila hasil tangan halusnya dalam menyalin ayat-ayat suci al-Quran tular di media sosial.
Aiman, si cilik yang merupakan anak kepada Syina Hakim, ternyata memiliki minat luar biasa terhadap seni tulisan Jawi dan kaligrafi Islam sejak mengenal huruf alif ba ta.
Baca juga: Nahas UPSI: Jenazah Muhammad Adib Tenang Seolah Sedang Tidur, Surah Yasin & Al-Mulk Jadi Amalan!
TULISAN KALIGRAFI BUDAK USIA 9 TAHUN MACAM KARYA PAKAR

“ALHAMDULILLAH, anak soleh abah dan mama memang minat tulis ayat-ayat suci al-Quran sejak mengenal alif ba ta…sekarang suka salin ayat al-Quran.” luah Syina dengan penuh kesyukuran.
Keistimewaan Aiman bukan hanya pada minatnya yang mendalam terhadap ayat-ayat suci, tetapi juga pada kehalusan dan ketelitian tulisan tangannya yang membuatkan ramai terpesona.
Tulisan Jawi yang disalin olehnya kelihatan seakan ditulis oleh seorang pakar khat profesional, malah ramai orang dewasa mengakui tidak mampu menghasilkan tulisan seindah itu.
“Masya-ALLAH, cantik tulisan jawi dia. Saya yang dewasa pun tak mampu tulis secantik tu!,” tulis seorang pengguna TikTok, mewakili ribuan pujian yang membanjiri ruangan komen.
Lebih mengharukan, Aiman bukanlah anak yang membesar dengan perkembangan tipikal.
Menurut ibunya, Aiman pernah mengalami masalah pertuturan (speech delay) dan hanya mula bercakap dengan jelas ketika berusia enam tahun.
Namun, daripada ujian itulah muncul bakat yang mengejutkan iaitu seni menyalin ayat al-Quran dengan penuh kasih dan ketelitian.
Syina turut berkongsi bahawa minat Aiman terhadap kaligrafi muncul secara semula jadi. Semuanya bermula daripada hobinya melukis dan menonton video kaligrafi di YouTube.
Daripada hanya menonton, Aiman mula meniru dan menyalin, lalu mereka sekeluarga terus menyokong kecenderungannya itu.
“Dia suka tengok video kaligrafi dan terus tiru. Kami cuma sokong minat dia,” ujar Syina merendah diri, walaupun anaknya kini menjadi inspirasi buat ramai.

Dalam ruangan komen, warga maya tidak henti-henti mendoakan kejayaan Aiman dan berkongsi rasa kagum mereka:
“Malu acik yang umur 28 tahun ni pun tak pandai tulis secantik tulisan dia… semoga menjadi anak yang terang hati dalam menimba segala ilmu.
“Ya ALLAH!!! Ini contoh anak kebanggaan ummah. Alhamdulillah!!!
“ALLAH… bagus betul anak soleh ni. Semoga jadi hafiz yang membahagiakan abah dan mamanya,” antara pujian yang ditinggalkan.
Namun, dalam kekaguman itu, muncul juga peringatan agar setiap ibu bapa tidak membandingkan anak-anak. Kelebihan setiap anak adalah berbeza dan patut diraikan, bukan dibandingkan.
Aiman menjadi bukti bahawa setiap cabaran mampu melahirkan keistimewaan tersendiri jika diberi ruang, kasih sayang dan sokongan.
Kisahnya menyedarkan ibu bapa di luar sana, bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur melalui akademik, tetapi anak-anak juga perlu diberi ruang untuk ikut minat mereka, terutama jika minat itu mendekatkan dengan agama.
Semoga Aiman terus membesar menjadi anak soleh, pencinta al-Quran dan pembawa cahaya buat keluarga dan masyarakat.
@syinahakim Alhamdulillah anak soleh abah mama mmg minat tulis ayat ayat suci Al Quran sejak mengenal Alif Ba Ta… now suka salin ayat Al Quran ❤️ #foryoupage #fyppppppppppppppppppppppp #pencintaalquran
Sumber: TikTok @syinahakim
FT Image: Syina Hakim
