Terkini, kerajaan menegaskan bahawa subjek Sejarah dan Bahasa Melayu masih kekal sebagai syarat wajib untuk pelajar daripada sekolah bukan aliran kebangsaan yang ingin melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, pelajar daripada sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz, sekolah agama serta sekolah persendirian Cina masih perlu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang diperakui oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Baca juga: Permohonan Subsidi Yuran Anak Autisme Dibuka Hari Ini! Ibu Bapa Boleh Mohon Dengan Cara Ini
SUBJEK SEJARAH & BM KEKAL SYARAT WAJIB KE IPTA

Gambar NSTP: Zambry ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
SPM masih jadi syarat asas kemasukan IPTA
Zambry menjelaskan, keputusan Kabinet sebelum ini hanya membuka laluan kepada kursus tertentu dan bukannya memberi pengiktirafan penuh kepada sistem pendidikan di luar aliran kebangsaan.
Katanya, asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam masih berpaksikan sistem pendidikan negara iaitu wajib memiliki SPM.
“SPM wajib kalau kalau nak masuk ke ke universiti. SPM itu tetap wajib walaupun dia belajar aliran itu, dia belajar aliran ini.
“Ya, itu keputusan kabinetlah, melainkan ada untuk bagi apa yang diputuskan juga untuk mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu yang telah yang diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” ujarnya.
Baca juga: Dulu Main Suka-Suka, Kini Gasing ‘Beyblade’ Diiktiraf Sebagai Sukan Kokurikulum Sekolah Di Malaysia
Tambah beliau lagi, kursus tertentu itu membabitkan bidang pengajian Islam serta sastera dan pengajian Cina.
Katanya, bagi pelajar sekolah agama, laluan khas itu melibatkan program seperti diploma dan sarjana muda dalam bidang pengajian Islam, manakala bagi pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pula hanya membabitkan bidang sastera Cina dan pengajian berkaitan.
Dalam ucapannya, Zambry menegaskan kerajaan hanya membuka ruang kepada pelajar untuk menyambung pendidikan ke peringkat pengajian tinggi dan bukan memberi pengiktirafan kepada sistem aliran bukan kebangsaan.
“Buka ruang, bukan memberi pengiktirafan. Sistem pendidikan negara tetap, kita tidak akan berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain, tetapi laluan-laluan yang diberikan.
“Asasnya mesti sama. Sebagai contoh, dari mana sistem sekalipun, sama ada sekolah itu, sekolah ini, belajar di sana, belajar di sini, nak masuk ke IPTA mesti berdasarkan kepada sistem SPM kita.
“Tak kira anda mengikuti sekolah antarabangsa ke, sekolah SPMC ke, sekolah agama yang tidak mengikut kurikulum kebangsaan, maka anda kena ikut, kena duduk ikut sistem kita, SPM,” katanya.

Gambar hiasan.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program yang dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi lepasan sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC pula, antara program yang dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina serta Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Perkongsian itu turut jadi perhatian warga maya
Perkembangan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya di media sosial.
- “UEC bukan sistem pendidikan negara Malaysia, kenapa kita kena iktiraf?”
- “Selama ini budak tahfiz kan memang wajib kena ambil SPM untuk layak ke IPTA.”
- “Minta menteri berkaitan dan kerajaan bertegas. Utamakan kemasukan IPTA bagi pelajar yang mengambil SPM dan lulus syarat-syaratnya. Jangan kompromi hal ini.”
- “Syukur Alhamdulillah, anak-anak aliran Tahfiz dipermudahkan lanjut pengajian.”
Untuk rekod, sebelum ini pelajar lepasan tahfiz, sekolah swasta, SMPC dan UEC yang ingin memohon ke IPTA melalui UPUOnline perlu mengambil enam mata pelajaran teras SPM termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.
Sumber: Buletin TV3
FT Image: Gemini AI
