Ramai ibu bapa teruja ketika mahu daftar nama anak, namun dalam keterujaan itu masih ada yang tidak tahu bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai garis panduan tertentu berkaitan pemilihan nama serta tempoh pendaftaran kelahiran bayi.
Menerusi satu perkongsian di media sosial rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ibu bapa diingatkan supaya segera mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia, manakala 42 hari untuk Sabah dan Sarawak.
Baca juga: Cuti Wesak 2026 Hari Ahad & Keputeraan Agong Pula Hari Isnin, Hari Selasa Ada Cuti Ganti Atau Tidak?
DAFTAR NAMA ANAK, JPN KONGSI ADA PERATURAN

Kredit: Magnific
Menurut JPN, sekiranya pendaftaran dibuat melebihi tempoh ditetapkan, ia akan dianggap sebagai Daftar Lewat dan boleh melibatkan proses tambahan tertentu.
Selain itu, JPN turut menasihatkan ibu bapa supaya memilih nama anak yang bersesuaian serta mematuhi garis panduan ditetapkan.
Pemilihan nama perlu mengambil kira tatacara penamaan, kesesuaian bahasa, agama dan norma budaya masyarakat demi menjaga identiti kanak-kanak serta keharmonian sosial.
Dalam perkongsian sama, JPN memaklumkan terdapat beberapa jenis nama yang ditegah daripada digunakan termasuk gelaran kebesaran seperti Tun dan Tan Sri.
Nama yang merujuk kepada pangkat atau jawatan seperti Imam dan Kapten juga tidak digalakkan selain nama berunsur lucah atau tidak sesuai.

Bagaimanapun, JPN menjelaskan bahawa pihak mereka hanya boleh memberikan nasihat kepada ibu bapa berkaitan pemilihan nama ketika proses pendaftaran dilakukan.
Menurut mereka, terdapat juga ibu bapa yang tetap mahu menggunakan nama pelik atau luar kebiasaan seperti nama tempat, asrama, hostel dan hotel untuk anak mereka.
Dalam situasi sedemikian, ibu bapa perlu menandatangani pengesahan bahawa nama tersebut dipilih atas kehendak sendiri dan dipersetujui tanpa paksaan.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya memilih nama anak dengan penuh pertimbangan kerana nama merupakan identiti yang akan dibawa seseorang sepanjang hayat.
“Kami boleh nasihatkan sahaja. Kalau parents bermati-matian nak juga nama asrama, hostel, hotel atau lain-lain, mereka kena tanda tangan dan akui nama yang diisi itu adalah kehendak dan kerelaan mereka,” jelasnya.
Baca juga: “Macam Jumpa Diri Sendiri Balik” – Trend Gemini AI Tukar Gambar Dulu VS Sekarang Buat Netizen Sebak
Sumber: JPN
