Nama anak dalam Islam seperti Muhammad, Abdullah, Abdul, Nur, Siti dan Nurul antara nama yang paling banyak didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias, nama-nama itu menjadi pilihan ibu bapa kerana ia melambangkan identiti Islam dan bangsa Melayu.
Baca juga: Kisah Cinta Dari Borneo Ke Belgium, Wanita Ini Tempuh Perjalanan Hidup Luar Biasa!
NAMA ANAK DALAM ISLAM SEPERTI MUHAMMAD PALING BANYAK DIDAFTARKAN

Freepik
Beliau menjelaskan nama-nama seperti di atas biasanya akan diikuti dengan nama kedua di mana ibu bapa menjadikan buku nama bayi, laman web keibubapaan, al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan.
Tambah beliau juga, ibu bapa masa kini lebih gemar menamakan anak mereka dengan nama yang bukan sahaja sedap disebut dan mudah diingat, tetapi juga membawa makna indah dan positif.
Antaranya seperti memilih nama berunsur Islamik dan Arab iaitu Aisyah, Maryam dan Rayyan kerana membawa maksud yang baik.
Dalam pada itu, beliau berkta ejaan nama juga mengalami perubahan seperti Amir dieja sebagai Ameer untuk tampak lebih moden.
Dalam rekod JPN, nama terpanjang mengandungi 15 patah perkataan, manakala nama paling pendek pula hanya mengandungi dua abjad.
Beliau menasihatkan ibu bapa di luar sana agar sentiasa merujuk kepada pihak JPN sebelum membuat keputusan mendaftarkan nama anak mereka sekiranya terdapat kekeliruan.
Berdasarkan Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Pendaftar Besar boleh mendaftarkan atau tidak mendaftarkan sesuatu nama.
JPN juga mengeluarkan Arahan Jabatan mengenai Prosedur Penamaan Kanak-Kanak Semasa Pendaftaran Kelahiran sebagai garis panduan kepada semua pendaftar.
“Antara pangkat dan gelaran yang dilarang diberikan sebagai nama adalah Tan Sri, Datuk, Datuk Seri, Tun, Haji, Nabi, Gabenor, Dr dan Mahaguru.
“Selain itu, ibu bapa juga ditegah menamakan anak mereka dengan nama kurang sesuai seperti nama haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran dan perkakasan. Mereka juga tidak dibenar menggunakan ringkasan nama seperti D, Mohd, Abd, M dan lain-lain lagi untuk anak mereka,” jelasnya.
Pihak JPN juga akan mengambil kira gelaran seperti Tengku, Megat dan Puteri sememangnya diwarisi daripada ahli keluarga atau tidak.
Bagi bukan Islam pula, mereka turut tertakluk dengan garis panduan pemberian nama anak seperti tidak dibenarkan menamakan anak dengan nama Tuhan.
Baca juga: Anak Kena Renjatan Elektrik Ketika Main Di Padang Putrajaya, ‘Daging’ Terbakar Sampai Dalam!
Sumber: Harian Metro
