Proses penamaan kanak-kanak bukan sekadar memilih nama yang kedengaran unik atau indah, sebaliknya turut melibatkan pertimbangan undang-undang dan norma masyarakat. Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengekalkan komitmen bagi memastikan setiap pendaftaran kelahiran di Malaysia dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan.
Menurut KDN, JPN memainkan peranan penting dalam memastikan semua kelahiran yang berlaku di negara ini didaftarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, selain mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai individu yang akan membawa nama tersebut sepanjang hayat.
Baca juga: Bantuan RM300 Untuk Anak Yang Tanggung Ibu Bapa Warga Emas, Melalui BINGKAS 3.0!
GARIS PANDUAN PENAMAAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Undang-Undang Yang Digunakan Dalam Pendaftaran Kelahiran
Pendaftaran kelahiran di Malaysia dilaksanakan berlandaskan tiga perundangan utama, iaitu:
- Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299);
- Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (Cap. 123);
- Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Cap. 10)
Ketiga-tiga peruntukan ini menetapkan bahawa setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia adalah wajib didaftarkan secara sah.
Kuasa Pendaftar Besar Dalam Penamaan Kanak-Kanak
Berdasarkan Seksyen 16, Akta 299, Pendaftar Besar mempunyai kuasa untuk mendaftarkan atau menolak pendaftaran nama yang didapati tidak menyenangkan, tidak sesuai atau tidak diingini.
Sehubungan itu, JPN telah memperkenalkan Arahan Jabatan Bil. 8/2006 bertarikh 2 Oktober 2006 berhubung Prosedur Penamaan Kanak-kanak Semasa Pendaftaran Kelahiran.
Arahan ini menjadi panduan rasmi kepada semua Pendaftar JPN di kaunter bagi memastikan nama yang didaftarkan menepati tatacara, kesesuaian bahasa, agama serta norma budaya masyarakat.
Baca juga: [TERKINI] Tarikh Agihan Diumumkan, Lebih 5.2 Juta Murid Dapat Bantuan Awal Persekolahan 2026
TIGA KATEGORI UTAMA PENAMAAN KANAK-KANAK
Berdasarkan arahan tersebut, penamaan kanak-kanak dibahagikan kepada tiga kategori utama seperti berikut:
1. Penamaan yang ditegah (Objectionable)
Kategori ini melibatkan penggunaan gelaran rasmi atau nama yang membawa maksud tidak sesuai, antaranya:
- Tan Sri
- Dato’
- Haji
- Nabi
- Gabenor
- Dr.
- Mahaguru
- Malang
- Haram
Nama dalam kategori ini tidak dibenarkan untuk didaftarkan.
2. Penamaan yang tidak sesuai (Undesirable)
Ia merangkumi ringkasan nama atau nama yang boleh menjejaskan identiti kanak-kanak pada masa hadapan, seperti:
- Singkatan nama (contoh: D, Mohd, Abd, M.)
- Nombor (contoh: 45)
- Nama haiwan
- Nama buah-buahan atau sayur-sayuran
- Nama perkakasan
Penamaan sebegini dianggap tidak wajar kerana berpotensi memberi kesan negatif dari sudut sosial dan emosi.
3. Penamaan dengan gelaran keturunan
Gelaran keturunan hanya boleh diwarisi melalui bapa dalam perkahwinan yang sah. Sekiranya:
- Bapa tidak mempunyai gelaran keturunan
- Ibu mempunyai gelaran keturunan
Maka, gelaran tersebut tidak boleh diturunkan kepada anak.
Antara contoh gelaran keturunan ialah:
- Tengku
- Engku
- Megat
- Syed
- Sharifah
- Nik

Gambar hiasan: Holiak
PEMBETULAN DAN PERUBAHAN NAMA
Bagi kes nama yang didapati tidak sesuai atau membawa maksud tidak baik, beberapa ketetapan telah ditetapkan:
1. Kanak-kanak berumur bawah satu (1) tahun
- Pembetulan maklumat boleh dibuat dalam Daftar Kelahiran.
2. Kanak-kanak berumur melebihi satu (1) tahun
- Perubahan nama hanya boleh dipohon semasa permohonan MyKad atau selepas memiliki MyKad;
- Pertukaran nama hanya akan dipaparkan pada MyKad;
- Akta 299 tidak membenarkan sebarang perubahan nama pada sijil kelahiran.
Orang ramai disarankan untuk membuat pertimbangan rapi sebelum mendaftarkan nama anak serta mendapatkan penjelasan lanjut di pejabat JPN terdekat atau melalui saluran rasmi JPN. Ia bagi memastikan urusan pendaftaran kelahiran berjalan lancar dan mematuhi ketetapan yang ditetapkan.
Baca juga: Permohonan Peperiksaan Perkhidmatan Awam 2026 Dah Buka, Cepat Mohon Sebelum Tarikh Tutup!
Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN)
FT Image: KDN / Freepik

