Bila sudah besar, baru kita sedar banyak perkara yang berlaku dan menjadi memori zaman kecil, dan inilah kenangan paling mahal dalam hidup.
Dulu masa kecil, kita selalu rasa mak garang, suka marah dan terlalu tegas. Tapi sekarang, suara itulah yang paling dirindui bila rumah mula sunyi.
9 MEMORI ZAMAN KECIL DENGAN EMAK PALING DIRINDUI

Gambar hiasan: Gemini AI
Daripada kena bebel sebab mandi hujan sampailah dipaksa masuk dapur sejak umur 5 tahun, semua itu rupa-rupanya cara seorang ibu membesarkan anak dengan penuh kasih sayang walaupun tidak pernah diungkap dengan kata-kata manis.
Dan anehnya, semakin meningkat usia, semakin banyak memori kecil bersama mak datang semula satu demi satu.
1. Balik rumah lambat sikit, mak dah tunggu dengan rotan
Dulu seronok sangat main sampai lupa waktu. Panjat pokok, main galah panjang, polis sentri, lompat getah sampai azan Maghrib pun buat tak dengar.
Tapi sebaik sahaja nampak kelibat mak berdiri depan rumah sambil pegang rotan, terus rasa berdebar.
“Masuk rumah sekarang! Dah nak Maghrib pun tak tahu balik!”
Masa kecil rasa takut, tapi sekarang baru faham kenapa mak terlalu risau anak-anak masih di luar waktu senja.
2. Mandi hujan kejap pun boleh kena marah
Entah macam mana mak boleh tahu kita mandi hujan walaupun dah lap rambut kering-kering sebelum masuk rumah.
“Hang mandi hujan kan?! Sebab tu badan panas nanti!”
Walaupun mulut membebel, tangan mak tetap sibuk bancuhkan air panas atau sapu minyak dekat dada bila kita mula demam malamnya.
3. Mak jadi ‘alarm’ paling konsisten setiap pagi
Dulu geram bila mak kejut Subuh berkali-kali sampai tarik selimut.
“Bangun sekolah! Nak lambat dah ni!”
Kadang-kadang siap buka kipas atau tarik kaki sebab susah sangat bangun.
Sekarang bila hidup berjauhan, tiada lagi suara itu setiap pagi. Yang ada cuma bunyi alarm telefon yang tak pernah sama seperti suara mak.

Gambar hiasan: Gemini AI
4. Dari kecil dah diajar masuk dapur
Ramai yang dulu merungut bila disuruh tolong potong bawang, siang ikan atau tumbuk cili walaupun baru darjah satu.
“Belajar masak. Esok besar jangan harap orang je.”
Waktu kecil rasa penat dan malas, tapi bila sudah dewasa, barulah sedar semua itu ilmu hidup yang mak tinggalkan.
Malah ramai hari ini mula rindu suasana di dapur lama seperti bunyi lesung batu, bau bawang tumis dan suara mak yang sibuk mengarah sana sini.
5. Belajar buat penyapu lidi guna daun kelapa
Budak sekarang mungkin tak pernah rasa pengalaman ini.
Dulu bila ada daun kelapa jatuh, mak atau nenek akan ajar cara meraut lidi satu-satu sebelum diikat jadi penyapu. Kadang-kadang siap kena duduk ramai-ramai di beranda rumah sambil buat kerja itu petang-petang.
Nampak sederhana, tapi itulah antara memori kampung yang sekarang makin susah nak dicari.
6. Kuih tradisional jadi ‘acara keluarga’
Kalau musim raya, satu rumah memang sibuk.
Mak akan mula keluarkan acuan kuih ros, tepung dan bekas besar seawal pagi. Anak-anak pula mula dipanggil jadi ‘assistant tidak bergaji’.
“Pegang elok-elok acuan tu!”
Walaupun penat, suasana itulah yang sekarang paling dirindui kerana semua orang berkumpul sambil bersembang dan bergelak ketawa.
Baca juga: Macam Ada Beauty Consultant Sendiri! Ini Prompt ChatGPT Viral Boleh Cuba, Tak Perlu Bayar RM5k!

Gambar hiasan: Gemini AI
7. Mengaji dengan mak memang penuh debaran
Ada satu benda yang semua budak dulu takut iaitu rotan kecil sebelah rehal mengaji.
“Panjang pendek tu jaga. Jangan main baca je.”
Walaupun garang, mak tetap orang pertama yang ajar alif, ba, ta dan betulkan satu-satu bacaan kita sampai pandai.
Hari ini bila terdengar anak kecil mengaji, automatik teringat suara mak yang sabar mengajar malam-malam dulu.
8. Mak teman buat kerja sekolah sampai tertidur di meja
Dulu kita selalu mengeluh bila mak paksa siapkan kerja sekolah malam-malam.
“Siapkan dulu kerja sekolah baru boleh tengok TV.”
Kadang-kadang mak duduk sebelah teman buat latihan Matematik atau eja karangan Bahasa Melayu sampai dia sendiri tertidur di meja.
Masa kecil mungkin kita rasa mak cerewet, tapi sekarang baru sedar tidak semua anak membesar dengan insan yang sanggup berjaga malam semata-mata mahu tengok anak pandai.
9. Makan ikan paling besar selalu mak letak dalam pinggan anak
Waktu kecil, kita jarang perasan satu perkara ini.
Kalau makan ikan atau ayam, bahagian paling elok selalunya automatik masuk ke pinggan anak-anak dulu. Mak pula makan bahagian kecil atau tulang tanpa banyak cakap.
“Ambiklah isi ni, mak tak lapar sangat.”
Sekarang bila sudah dewasa dan mula faham susah payah mencari rezeki, barulah terasa besar pengorbanan kecil yang mak lakukan setiap hari tanpa pernah berkira.
Kesimpulan
Dan selagi masih diberi peluang, hargailah mak sementara dia masih ada di depan mata. Kadang-kadang perkara yang paling kita rindu nanti bukan hadiah besar atau kenangan mewah, tetapi suara bebelannya di dapur, cara dia kejut Subuh dan pertanyaan kecil seperti “dah makan belum?”
Bagi yang masih mempunyai ibu, peluklah dan luangkan masa dengan mereka sementara masih sempat. Dan buat yang sudah kehilangan insan bernama mak, semoga setiap doa yang dikirimkan menjadi asbab kasih itu terus hidup hingga dipertemukan kembali di syurga suatu hari nanti.
Sumber: Memori penulis
FT Image: Gemini AI
