Permaisuri di Malaysia bukan sahaja dikenali kerana kedudukan dan peranan mereka, tetapi juga kerana latar belakang pendidikan yang baik serta pencapaian akademik yang membanggakan.
Ada dalam kalangan mereka menuntut ilmu di dalam dan luar negara, malah ada yang pernah menceburi bidang profesional sebelum menyertai institusi diraja. Gabungan ilmu, kebijaksanaan dan keperibadian ini menjadikan mereka figura yang dihormati serta menjadi inspirasi kepada masyarakat.
PERMAISURI DI MALAYSIA YANG BERKELULUSAN TINGGI
1. Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Tunku Azizah dikenali sebagai seorang Permaisuri yang memiliki latar pendidikan antarabangsa, termasuk pengalaman menuntut di luar negara. Baginda bukan sahaja fasih dalam beberapa bahasa, malah sangat aktif dalam bidang seni warisan seperti tenunan Pahang Diraja.
Selain itu, baginda juga sering terlibat dalam isu kesihatan, pendidikan serta kebajikan wanita, menunjukkan pemikiran yang luas dan berilmu.
2. Tuanku Zara Salim

Tuanku Zara Salim memiliki ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan kimia dari University of Nottingham. Baginda juga merupakan cucu saudara kepada Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam mencapai kemerdekaan negara.
Tuanku Zara Salim menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Negeri Perak apabila baginda mendirikan rumah tangga bersama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2007. Baginda berdua dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.
Selepas menamatkan pengajian di Britain, Tuanku Zara kembali ke tanah air dan menyumbang dalam industri hidrokarbon melalui syarikat petroleum negara, Petronas.
Sepanjang perjalanan hidupnya, pelbagai pencapaian baginda telah mendapat pengiktirafan. Antaranya pada tahun 2007, baginda diberi penghormatan apabila sejenis orkid hibrid ungu dinamakan sempena namanya, “Dendrobium Tuanku Zara Salim”, bersempena lawatan ke Festival Orkid Antarabangsa ke-7.
Selain itu, pada 1 Januari 2012, baginda telah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris di Negeri Perak.
University of Nottingham turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tuanku Zara dan Sultan Nazrin atas usaha serta komitmen baginda berdua dalam aspek kelestarian dan pembangunan mampan.
3. Tengku Ampuan Rahimah

Tengku Ampuan Rahimah merupakan antara tokoh diraja yang namanya masih dikenang hingga ke hari ini, meskipun generasi muda mungkin tidak begitu mengenali latar kehidupannya secara mendalam. Namun begitu, jasa dan legasi baginda tetap diabadikan melalui penamaan sebuah hospital terkenal di Klang iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Baginda diputerikan pada 4 Ogos 1927 di Langkat, Sumatera Utara, dalam sebuah keluarga diraja Kesultanan Langkat yang mempunyai sejarah panjang di wilayah Melayu Nusantara.
Perjalanan hidup baginda dalam institusi diraja Selangor bermula apabila dilantik sebagai Raja Puan Muda Selangor pada 13 Mei 1958. Tiga tahun kemudian, pada 28 Jun 1961, baginda dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Selangor dalam satu istiadat pertabalan di Istana Alam Shah ketika berusia 34 tahun.
Suami baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menaiki takhta sebagai Sultan Selangor selepas kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada tahun 1960 yang ketika itu pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Sepanjang tempoh sebagai Tengku Ampuan Selangor, baginda memainkan peranan penting dalam institusi diraja selama lebih tiga dekad, sebelum mangkat pada 27 Jun 1993 pada usia 66 tahun. Pemergian baginda meninggalkan legasi besar dalam sejarah negeri Selangor serta terus dikenang melalui sumbangan dan pengiktirafan yang diabadikan hingga ke hari ini.
4. Raja Permaisuri Bainun

Raja Permaisuri Bainun dilahirkan di Pulau Pinang dan memulakan langkah awal kerjayanya sebagai seorang pendidik. Baginda pernah berkhidmat di beberapa buah negeri sebelum diangkat sebagai Raja Permaisuri Perak. Pada 9 Disember 1955, baginda mendirikan rumah tangga bersama Sultan Azlan Shah dan dikurniakan lima orang cahaya mata, termasuk Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kini menjadi Sultan Perak.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan baginda, nama Raja Permaisuri Bainun telah diabadikan dalam pelbagai institusi penting di negara ini. Antaranya termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun, Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Sekolah Raja Perempuan Bainun serta Pusat Konvensyen Tuanku Bainun di Kuala Lumpur.
Legasi baginda terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah moden negeri Perak dan juga Malaysia. Perjalanan hidupnya daripada seorang guru kepada figura utama dalam institusi diraja menjadi inspirasi, manakala namanya kekal terpahat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat hingga ke hari ini.
5. Sultanah Bahiyah

Sultanah Bahiyah dimasyhurkan sebagai Sultanah pada 20 Februari 1959. Kemudian, pada 23 September 1970, baginda sekali lagi mencatat sejarah apabila ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong Malaysia susulan pelantikan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima.
Sepanjang hayat baginda, pelbagai pengiktirafan telah diterima dari dalam dan luar negara sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta peranan yang dimainkan. Antaranya, pada tahun 1970, baginda dianugerahkan The First Class Order of the Sacred Treasure oleh Maharaja Hirohito dari Jepun. Pada tahun yang sama, baginda turut menerima anugerah Bintang Maha Putera Kelas Satu daripada Soeharto.
Dalam bidang pendidikan, baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan oleh Universiti Malaya dan kemudiannya dilantik sebagai Canselor universiti tersebut dari tahun 1972 hingga 1986.
Sultanah Bahiyah juga dikenali dengan sifat prihatin dan komitmen tinggi terhadap kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik, kanak-kanak serta warga emas.
Bagi memperluaskan usaha kebajikan ini, sebuah badan khas iaitu Yayasan Sultanah Bahiyah telah ditubuhkan, dengan baginda bertindak sebagai penaung utama dalam menggerakkan pelbagai inisiatif bantuan dan sokongan kepada masyarakat.
*Secara keseluruhannya, Permaisuri di Malaysia bukan sekadar simbol institusi diraja, tetapi turut mencerminkan nilai ilmu, kebijaksanaan dan kepimpinan. Latar belakang pendidikan yang dimiliki menjadi kelebihan dalam memperkukuhkan peranan mereka dalam bidang kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Baca juga: Kehebatan Di Sebalik Takhta, Ini 5 Sultan Di Malaysia Dengan Latar Pendidikan & Kerjaya Luar Biasa!
Sumber: University of Nottingham, Orang Perak, Istana Negara, Kerajaan Negeri Pahang
