Seorang guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden pelajar dirempuh di hadapan surau sekolah semalam dibawa ke mahkamah pagi ini untuk proses reman.
Guru terbabit dillihat tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis serta memakai pakaian lokap.
Baca juga: Pelajar Perempuan Maut Dirempuh Kereta Depan Surau Sekolah, Tertekan Pedal Minyak Jadi Punca
INSIDEN PELAJAR DIREMPUH: GURU DIBAWA KE MAHKAMAH

Difahamkan, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan satu kejadian tragis berlaku tengah hari semalam apabila dua pelajar perempuan dirempuh sebuah kenderaan di hadapan surau sekolah.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, salah seorang mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan serius di bahagian kepala.
Seorang lagi pelajar dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu guru berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas pedal minyak ditekan secara tidak sengaja.

Akibatnya, kereta tersebut terbabas ke hadapan sebelum melanggar kedua-dua pelajar yang berada berhampiran surau sekolah.
IBU SAUDARA LUAH RASA PILU..
Dalam perkembangan sama, suasana pilu turut dikongsikan ahli keluarga mangsa apabila ibu saudara kepada arwah, Noor Syawalriah, meluahkan rasa sebak di media sosial.
Dia turut memaklumkan kepada orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh hadir ke kediaman arwah di belakang Hotel Assalam, Pengkalan Chepa.
“Selesai dah urusan awak di dunia. Auntie mampu hantar sampai sini saja. Insya-Allah selepas isyak solat jenazah di Masjid Taman Uda malam ini dan akan dikebumikan di Gayong. Al-Fatihah buat adik Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin,” tulisnya.
Perkongsian itu turut mengundang sebak ramai warganet yang sama-sama menitipkan doa dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Sumber: Berita Harian & Facebook Noor Syawalriah
