Laporan terkini EF English Proficiency Index (EF EPI) 2025 memperlihatkan perkembangan positif penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan beberapa negeri dan bandar mencatat prestasi memberangsangkan.
Pencapaian ini juga mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan bahasa serta pendedahan kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian di Malaysia.
Baca juga: Tips Paling Berkesan Ajar Anak Baca Buku Bahasa Inggeris, Confirm Si Kecil Suka!
KEDAH NEGERI KEDUA TERBAIK PENGUASAAN BAHASA INGGERIS DI MALAYSIA

Foto: The Leverage
Antara yang paling mencuri perhatian ialah Kedah yang muncul sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia dengan skor 588, hanya satu mata di belakang Pulau Pinang.
Pencapaian ini sekali gus mencerminkan peningkatan ketara dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat setempat.
Menariknya, Kedah yang sering dikaitkan dengan loghat tempatan yang agak kasar, tetapi membuktikan bahawa identiti linguistik tempatan tidak menghalang keupayaan berbahasa Inggeris dengan baik.
Sebaliknya, ia memperlihatkan kepelbagaian kemahiran bahasa yang semakin seimbang dalam kalangan rakyat Kedah.
Prestasi Negeri dan Bandar Lain Turut Meningkat

Foto: Freepik
Selain Kedah dan Pulau Pinang, beberapa negeri lain turut mencatat skor tinggi termasuk Pahang, Selangor dan Perak.
Ini menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia tidak lagi tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya berkembang secara lebih menyeluruh.
Dalam kategori bandar pula, beberapa lokasi menunjukkan prestasi cemerlang.
Antaranya ialah Kuantan, Shah Alam dan Seremban yang masing-masing mendahului carta dari segi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penduduk bandar.
Kedudukan Malaysia dalam Penguasaan Bahasa Inggeris Peringkat Global
Di peringkat global, Malaysia berada pada kedudukan ke-24 dunia dan berjaya menduduki tempat pertama terbaik di Asia dalam indeks tersebut.
Pencapaian ini memberi gambaran bahawa sistem pendidikan dan pendedahan bahasa Inggeris di negara ini berada pada tahap yang kompetitif berbanding negara serantau lain dalam Asia.
Ini juga menggambarkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap yang baik dan semakin berkembang secara menyeluruh, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan yang berterusan pada masa hadapan.
Sumber: EF English Proficiency Index
FT Images: The Leverage dan Freepik
