Terbaharu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan inisiatif yang pastinya menarik perhatian ramai apabila menawarkan kelas bahasa mandarin dan bahasa lain-lain secara percuma kepada rakyat negeri itu bermula tahun hadapan (2026)!
Jadi, bagi peminat bahasa-bahasa antarabangsa, inilah masanya untuk anda mengambil kesempatan untuk mempelajari dengan percuma dan tidak perlu mengeluarkan ratusan ringgit untuk membayar yuran.
PEMBELAJARAN PERCUMA! KELAS BAHASA MANDARIN, TAMIL, ARAB ANTARA YANG JADI PILIHAN RAMAI

Foto: NUR SYAHEDA IMRAN (BERNAMA)
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kelas tersebut akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus memberi peluang lebih luas kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran bahasa tanpa kekangan masa dan lokasi.
Antara bahasa yang ditawarkan secara percuma ialah Mandarin, Tamil, Arab, Perancis, Jerman dan Sepanyol.
Menurut laporan Suara Keadilan, Amirudin menjelaskan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh keupayaan multilingual rakyat, di samping menyemai semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Beliau turut berkongsi bahawa program kelas bahasa ini sebenarnya telah diperkenalkan sejak era pandemik COVID-19 oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama pusat-pusat bahasa, ketika itu dikenakan bayaran serendah RM10.
“Program tersebut menerima sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Tambah Amirudin, penguasaan pelbagai bahasa bukanlah faktor pemisah, sebaliknya menjadi kekuatan penting untuk rakyat Malaysia bersaing di peringkat global. Tambah pula, rakyat Malaysia yang suka melancong boleh menggunakan kemahiran bahasa ini di luar.
“Bahasa adalah kekuatan yang membolehkan kita bersaing di peringkat dunia, bukannya punca perpecahan.
“Oleh itu, mulai tahun depan, Kerajaan Negeri Selangor menawarkan kelas bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Sepanyol secara percuma agar rakyat Selangor mampu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa, termasuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” jelasnya.
Pengumuman mengenai kelas bahasa asing percuma ini dibuat sempena Sambutan Krismas Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di 1 Utama, Petaling Jaya, pada 14 Disember lalu.

Foto hiasan.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah progresif Kerajaan Negeri dalam melahirkan rakyat Selangor yang lebih berdaya saing, berpengetahuan serta bersedia menghadapi cabaran global. Apa lagi rakyat Selangor, jom!
Baca juga: 6 Aplikasi Paling Mudah Untuk Ajar Anak Mahir Bahasa Asing, Bahasa Satu Dunia Ada!
Sumber: Suara Keadilan
