Berita baik buat warga Selangor yang mahu tambah kemahiran baharu! Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) tampil dengan satu inisiatif pendidikan menarik menerusi Language Discovery @ Selangor Public Library, yang menawarkan kelas bahasa Arab, Mandarin dan lain-lain secara percuma khas untuk rakyat negeri tersebut.
KELAS BAHASA ARAB, MANDARIN & LAIN-LAIN PERCUMA UNTUK WARGA SELANGOR!

Menerusi program ini, orang ramai berpeluang mempelajari lapan bahasa antarabangsa iaitu Bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Rusia. Ini merupakan satu peluang keemasan untuk tingkatkan kemahiran komunikasi, sama ada untuk kerjaya, pendidikan atau kepuasan diri.
Lebih menarik, kelas ini dijalankan secara dalam talian selama tiga bulan, dengan empat sesi pembelajaran setiap bulan, menjadikannya fleksibel dan sesuai untuk semua peringkat umur serta latar belakang. Pendekatan pembelajaran yang santai dan berperingkat turut membantu peserta memahami asas bahasa tanpa tekanan.
Bagi edisi 2026, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan dana khas sebanyak RM500,000 bagi menjayakan program pembelajaran lapan bahasa ini.
Menurut Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Hj Muhamad, program ini menerima sambutan luar biasa sejak diumumkan oleh Menteri Besar Selangor semasa pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2026.
“Sejak diumumkan, program ini terus menjadi tumpuan masyarakat dan mendapat respons yang sangat memberangsangkan,” katanya.
Bagi yang terlepas kuota percuma, jangan risau. Orang ramai masih boleh mengikuti kelas bahasa pilihan melalui slot alternatif pada kadar subsidi hanya RM10 sejam, satu harga yang cukup berpatutan.
Difahamkan, kelas pertama dijadualkan bermula pada 20 Februari 2026. Orang ramai yang berminat digalakkan untuk mendaftar segera sebelum kuota penuh. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web rasmi PPAS: https://www.ppas.gov.my/ppas_language_discovery/
Pertanyaan lanjut: WhatsApp 016-206 4264 atau 011-5879 1664

Foto Ai
*Kalau dah lama teringin nak belajar bahasa baharu, inilah masanya. Peluang percuma, fleksibel dan berimpak tinggi, rugi kalau lepaskan!
Baca juga: 6 Aplikasi Paling Mudah Untuk Ajar Anak Mahir Bahasa Asing, Bahasa Satu Dunia Ada!
