Euforia Bola 2026
Inspirasi

Unik! Satu Keluarga Cina Ini Mahir Anyam Ketupat, Setiap Kali Raya ‘Full House’ Sampai Tak Menang Tangan

anyam ketupat

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, ketupat pasti menjadi antara juadah wajib di kebanyakan rumah masyarakat Melayu. Namun, siapa sangka ada sebuah keluarga berbangsa Cina di Johor yang begitu mahir anyam ketupat hingga tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Baca juga: [VIDEO] Cara Anyam Ketupat Palas Versi Pantai Timur & Utara Bersama 2 Resepi Ketupat!

KELUARGA CINA MAHIR ANYAM KETUPAT

anyam ketupat

Foto: Harian Metro

Di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, kisah keluarga ini menarik perhatian ramai apabila mereka bukan sahaja pandai menganyam ketupat, malah menjadikannya sebagai sumber pendapatan setiap kali musim perayaan.

Ng Meng Chee, 63, berkongsi bahawa dia mula belajar menganyam ketupat ketika berusia 26 tahun daripada ibu mentuanya.

Pada awalnya, kemahiran tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikuasai. Namun, dengan usaha berterusan selama kira-kira enam bulan, dia akhirnya berjaya mahir.

Menurutnya, ramai yang tidak menyangka orang Cina boleh menganyam ketupat, tetapi tanggapan itu berubah apabila melihat sendiri hasil kerjanya.

Satu Keluarga Pandai Menganyam Ketupat

anyam ketupat

Foto: Harian Metro

Lebih menarik, kemahiran ini bukan hanya dimiliki oleh Ng seorang. Keenam-enam anaknya turut pandai menganyam ketupat sejak di bangku sekolah lagi.

Setiap kali Ramadan, mereka sekeluarga akan bergotong-royong menyiapkan tempahan daripada pelanggan. Malah, dalam sehari mereka mampu menghasilkan kira-kira 1,000 biji ketupat!

Ketupat tersebut dijual di pasar awam sekitar Johor Bahru dan turut menerima tempahan daripada jiran tetangga yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Harga pula cukup berpatutan, sekitar lima hingga enam puluh sen sebiji.

Bukan itu sahaja, Ng turut menjadikan ketupat sebagai hidangan istimewa untuk keluarganya sendiri. Malah, dia juga menyediakan ketupat bersama rendang ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Bukti Budaya Boleh Dikongsi Bersama

Kisah keluarga ini jelas menunjukkan bahawa budaya tidak terbatas kepada satu kaum sahaja. Sebaliknya, ia boleh dipelajari, dikongsi dan diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.

Dalam dunia yang semakin moden, usaha seperti ini bukan sahaja membantu mengekalkan warisan tradisi, malah mengeratkan lagi hubungan antara kaum. Memang betul, kadang-kadang perkara paling indah tentang Malaysia adalah bagaimana kita saling berkongsi budaya, termasuklah ketupat di hari raya.

Baca juga: 3 Beradik Bangsa Cina Teruja Ikut Berkhatan & Sanggup Bangun 5 Pagi Nak Ikut Rakan Lain!

Sumber: Harian Metro 

FT Images: Harian Metro 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×