Euforia Bola 2026
Asuh

Datin Seri Shahida Dedah Anak Ke-4 Hidap ADHD, “Yusoff Pernah Duduk Atas Genting Rumah Nak Jadi ‘Superhero’!”

datin seri shahida

Isteri kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Shahida Mohd Rashid berkongsi mengenai keadaan anak keempatnya, Yusoff Al Qardawi yang disahkan menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) serta masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia.

Menurut Shahida, Yusoff mula menunjukkan tingkah laku berbeza sejak kecil apabila terlalu aktif berbanding kanak-kanak lain seusianya. Perkara itu membuatkan beliau mula menyedari terdapat sesuatu yang tidak biasa pada perkembangan anaknya.

Baca juga: Ini 5 Tanda Anda Melahirkan Anak Genius, Rupanya Perangai ‘Pelik’ Itu Petanda Bijak Macam Pendeta!

DATIN SERI SHAHIDA DEDAH ANAK KEEMPAT HIDAP ADHD

datin seri shahida

Gambar: Tangkap layar di Threads.

Yusoff pernah duduk atas genting rumah mahu jadi ‘superhero’

Shahida, 41, berkata dua lagi anaknya iaitu Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham sebelum ini turut disahkan menghidap disleksia.

“Qadejah dan Ibraheem pernah bersekolah di sekolah khas disleksia kira-kira enam bulan. Selepas keadaan mereka bertambah baik, barulah dipindahkan ke sekolah biasa.

“Apabila melihat Yusoff, saya sudah dapat rasakan dia berbeza kerana sangat aktif. Pada usia satu hingga dua tahun, hampir setiap hari ada benjol di kepalanya.

“Malah ketika berusia lima tahun, dia pernah duduk di atas genting rumah seorang diri kerana katanya mahu menjadi ‘superhero’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem pendek Ya Abah Saya Security di sebuah pusat beli-belah di Damansara, pada Isnin.

Kini jalani terapi dua kali seminggu

Menurut Shahida, sikap Yusoff yang gemar memanjat tempat tinggi serta berani terjun ke kolam ikan tanpa rasa takut membuatkan beliau mengambil keputusan membawa anaknya berjumpa pakar kanak-kanak.

“Selepas menjalani beberapa ujian, Yusoff disahkan menghidap ADHD. Dia kini kini mengikuti sesi terapi dua kali seminggu sejak awal tahun lalu dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Beliau berkata keputusan mendapatkan rawatan dibuat selepas Yusoff berdepan beberapa isu ketika berada di sekolah.

“Kanak-kanak ADHD tidak suka ditekan. Jika ada yang terlalu ramah, dia tidak selesa lalu menolak dengan cara kasar.

“Perkara itu berlaku beberapa kali dan saya mengambil keputusan memindahkannya ke sekolah lain yang lebih dekat dengan rumah supaya mudah menghadiri sesi terapi,” katanya.

Menurutnya, perubahan tersebut memberi kesan positif apabila Yusoff kini dilihat semakin kurang lasak berbanding sebelum ini.

Baca juga: Usia Anak Lebih 2 Tahun Masih Belum Bercakap, Azmi Saat Sabar Menanti Panggilan ‘Ayah’ & Sedia Tanggung Kos Tinggi Terapi

datin seri shahida

Gambar Ahmad Ukasyah (Harian Metro).

Percaya setiap anak ada cara belajar berbeza

Shahida turut berkongsi bahawa pada awalnya beliau tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai ADHD sehinggalah dua anaknya terdahulu disahkan mengalami masalah pembelajaran.

Menurutnya, doktor memaklumkan gangguan tersebut berkemungkinan berkait dengan faktor genetik.

“Apabila saya tanya suami, dia beritahu dulu hanya boleh membaca ketika berusia 12 tahun dan sering keliru antara kiri dan kanan.

“Bermula dengan Qadejah, saya mula belajar mengenai ADHD. Bila nampak Yusoff menunjukkan tanda sama, pada awalnya saya cuba menafikan, tetapi akhirnya menerimanya,” katanya.

Kelebihan Yusoff yang pandai berenang tanpa ke kelas

Tambahnya lagi, walaupun Yusoff sangat aktif dan sentiasa bertenaga, beliau tidak terlalu bimbang kerana melihat perkembangan positif dua anaknya selepas menjalani terapi.

“Yusoff sangat pandai berenang walaupun saya tidak pernah menghantarnya ke kelas renang. Apa sahaja gaya, dia boleh buat.

“Sebab itu saya ambil jurulatih untuk melatihnya kerana dia memang suka aktiviti lasak,” katanya.

Baginya, kanak-kanak ADHD bukanlah kurang upaya, sebaliknya mempunyai cara pembelajaran yang berbeza.

“Saya tidak anggap mereka kurang upaya. Pada saya mereka normal, cuma cara belajar mereka berbeza,” katanya.

Untuk rekod, Shahida dan Aliff mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.

Baca juga: Tular Sikap ‘Parents’ Biar Botol Susu Anak Sampai Berkerak Bila Hantar Taska, Pakar Kongsi Cara Cuci & Steril Yang Betul!

Sumber: Harian Metro

FT Image: Harian Metro / Threads

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×