Euforia Bola 2026
Nur

Tular ‘Fenomena’ Tarawih Ekspres Cetus Kerisauan Dalam Solat, Ustaz Tegur Ibarat Seburuk-Buruk Pencuri!

tarawih ekspres

Dalam keghairahan menyempurnakan ibadat pada bulan Ramadan, soal kualiti pelaksanaan solat seharusnya menjadi keutamaan berbanding kepantasan. Namun, fenomena yang digelar sebagai ‘tarawih ekspres’ kembali mencetuskan perbincangan.

Di mana, rakaman yang tular itu memaparkan solat Tarawih dilaksanakan dalam tempoh yang amat singkat sehingga menimbulkan persoalan tentang pemeliharaan rukun dan tamakninah.

Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!

PERIHAL TARAWIH EKSPRES

tarawih ekspres

Gambar hiasan: Gemini AI

Video berkenaan memaparkan solat 20 rakaat berserta tiga rakaat witir yang didakwa selesai dalam masa kurang 10 minit di sebuah masjid di Indonesia. Keadaan itu sekali gus mencetuskan perbahasan dalam kalangan masyarakat mengenai konsep sebenar Tarawih dan tuntutan ketenangan dalam solat.

Salah satu rukun dalam solat adalah tamakninah. Kedudukannya sama seperti kewajipan membaca surah al-Fatihah. Jika tidak membaca surah al-Fatihah, maka solat seseorang itu menjadi tidak sah.

Tamakninah dalam solat menuntut setiap gerakan serta bacaan dilakukan dalam keadaan tenang. Dalam video yang tular itu, jelas kelihatan imam membaca surah al-Fatihah terlalu laju sehingga sebutannya tidak jelas. Malah, sebelum sempurna sesuatu gerakan, jemaah sudah bangun untuk meneruskan gerakan seterusnya.

Amalan tersebut didakwa sudah menjadi tradisi masyarakat di kampung berkenaan dengan tujuan menarik lebih ramai jemaah. Namun, pelaksanaan solat dalam keadaan tergesa-gesa sebegitu bukan sahaja menimbulkan jenaka, bahkan boleh memberi gambaran kurang baik terhadap Islam dalam aspek pelaksanaan ibadat.

Makna Tarawih dan tuntutan ketenangan

Solat sunat Tarawih adalah ibadat khusus yang hanya dikerjakan pada bulan Ramadan. Menurut imam mazhab yang empat, hukumnya adalah sunat muakkad, iaitu sangat dituntut.

Perkataan “Tarawih” sendiri membawa maksud berehat. Justeru, ia dilaksanakan secara berselang-seli dengan berhenti rehat seketika antara beberapa rakaat. Tujuan rehat itu adalah untuk memberi ruang ketenangan dan keikhlasan dalam solat, khususnya kepada warga emas.

Apabila solat dilakukan secara tergopoh-gapah sehingga mengabaikan tamakninah, ia jelas bercanggah dengan maksud dan falsafah Tarawih itu sendiri. Ulama menjelaskan, kadar minimum tamakninah dalam rukuk dan sujud adalah sekadar tempoh menyebut lafaz “subhanallah”.

Melaksanakan solat Tarawih bukan bertujuan untuk diselesaikan dalam masa singkat, sebaliknya perlu dilakukan dengan tenang dan menghadirkan rasa khusyuk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib).”(Surah Mukminun, ayat 1-2)

Baca juga: Sentuhan Ramadan Ee Wei Curi Perhatian, Bina Replika Kaabah & Beri Ucapan Ringkas Dipuji Peminat

tarawih ekspres

Gambar hiasan: Harian Metro.

Amaran Rasulullah SAW terhadap solat tergesa-gesa

Dalam ibadat solat, perlakuan tergesa-gesa tanpa tamakninah disifatkan sebagai satu bentuk ‘pencurian’.

Daripada Abu Qatadah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka.”

Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah SAW! Bagaimana mereka mencuri daripada solat?”

Baginda menjawab: “Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah).” (Riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW melarang umatnya menunaikan solat seperti burung mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam tempoh yang singkat. (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’i)

Imam al-Bukhari turut meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki menunaikan solat secara tidak sempurna. Baginda meminta lelaki itu mengulanginya semula kerana dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya engkau mendirikan solat, hendaklah kamu mengambil wuduk dahulu, kemudian menghadap kiblat dan kemudian memulakannya dengan takbir.

“Bacalah ayat dari al-Quran kemudian rukuklah dan kemudian hendaklah kamu bertenang seketika sewaktu rukuk tersebut. Kemudian kamu berdiri iktidal.

“Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu bertenang ketika dalam tempoh sujud tersebut. Kemudian duduklah (di antara dua sujud) dalam keadaan tenang.

“Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu bertenang ketika dalam tempoh sujud tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jelas bahawa dalam apa jua solat, termasuk Tarawih, ketenangan dan pemeliharaan tamakninah adalah asas yang tidak boleh dipandang ringan. Ibadat bukan soal kelajuan, sebaliknya tentang kesempurnaan dan kekhusyukan dalam menghadap Allah SWT.

Memetik dari penulis asal oleh wartawan Harian Metro

Baca juga: “Nak Mula Tahun Ini!”- Ibu Kongsi 8 Cara Tepis Rasa Malu Berbuka Di Masjid, Sekali Buat Terus Jadi Rutin Ramadan

Sumber: Harian Metro

FT Image: Arkib NSTP

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×