Euforia Bola 2026
Didik

“Nak Jadi Guru”- 3 Anak Orang Asli Kelantan Berjaya Masuk SBP, Cipta Sejarah Selepas Sedekad Tiada Kemasukan!

anak orang asli

Tiga anak Orang Asli dari Kelantan berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila ditawar melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP), sekali gus memecah rekod selepas 10 tahun tiada kemasukan pelajar daripada komuniti itu.

Tiga pelajar berusia 13 tahun tersebut ialah Muhamad Putra Faizul Ab Ghani, Nur Muhammad Al-Khawarizmi Rosmi dan Nor Cristina A/P Ranya yang dijadualkan memulakan sesi persekolahan pada 23 Februari ini.

Baca juga: Bukan Satu Tapi 7 Kali Khatam Al-Quran Dalam 13 Bulan & CGPA 4.00, Muhammad Ariffin Raih Anugerah Pelajar Cemerlang!

3 ANAK ORANG ASLI KELANTAN BERJAYA MASUK SBP

anak orang asli

Gambar: Tiga pelajar Orang Asli (dari, kiri) Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi, Nor Christina Ranya dan Muhammad Putra Faizul Ab Ghani, yang menerima surat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SP) pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Dewan Sri Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, kali terakhir pelajar Orang Asli memasuki SBP adalah kira-kira sedekad lalu.

Menurutnya, kejayaan tiga pelajar ini membuktikan bahawa dengan peluang yang adil serta sokongan berterusan, tiada yang mustahil untuk dicapai.

“Kita di JPN Kelantan sangat bangga dengan kejayaan mereka,” katanya.

Difahamkan, dua pelajar ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, manakala seorang lagi ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Malah, Kementerian Pendidikan turut menanggung kos pendaftaran ketiga-tiga pelajar berkenaan bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lancar.

Baca juga: Atlet Pingpong Cilik Malaysia Cipta Sejarah Luar Biasa, Azhar Habib Kini Di ‘Ranking’ No. 2 Dunia!

anak orang asli

Gambar: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Siti Norina Muhamad (tengah) bergambar bersama pelajar Orang
Asli yang menerima surat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada Perhimpunan Bulanan JPN Kelantan di Dewan Sri Tunjong, semalam.

“Saya nak jadi guru Bahasa Melayu”

Lebih menyentuh hati, Muhamad Putra Faizul yang merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli berharap kejayaannya menjadi pembakar semangat buat anak-anak Orang Asli lain.

Anak sulung daripada dua beradik itu menyimpan cita-cita besar untuk berjaya dalam pelajaran dan membuktikan bahawa pelajar daripada komuniti Orang Asli juga mampu bersaing dalam bidang akademik, sekiranya mempunyai tekad dan kesungguhan untuk berjaya.

“Saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini untuk mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu agar dapat menabur bakti dan membantu anak bangsa untuk berjaya kelak,” katanya.

Inspirasi buat komuniti

Kisah ini bukan sekadar kejayaan tiga pelajar, tetapi simbol harapan buat komuniti Orang Asli bahawa pendidikan mampu menjadi jambatan mengubah masa depan.

Dengan usaha, disiplin dan sokongan yang berterusan, lebih ramai anak Orang Asli berpotensi melakar kejayaan sama, malah mungkin lebih besar pada masa akan datang.

Baca juga: Status Ibu Bukan Halangan, Wanita Muslim Ini Satu-Satunya Rakyat Malaysia Sebagai Jurutera Keselamatan Nuklear Di Perancis

Sumber: BERNAMA

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×