Menjelang Ramadan yang semakin hampir, umat Islam di Johor pastinya sudah mula membuat persiapan untuk mengimarahkan malam-malam penuh keberkatan dengan solat tarawih dan antara yang menjadi tumpuan adalah pelajar tahfiz menjadi imam.
Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan bahawa khidmat imam tempatan akan terus digunakan bagi memimpin solat tarawih di semua masjid dan surau di negeri itu.
Baca juga: Panduan Solat Tarawih Ringkas Di Rumah Untuk Wanita & Ibu Yang Ada Anak Kecil
PELAJAR TAHFIZ DIBENAR PIMPIN SOLAT TARAWIH DI SEMUA MASJID & SURAU JOHOR

Menariknya, pelajar tahfiz yang memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai imam sepanjang Ramadan kali ini.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita kekalkan khidmat imam tempatan. Pada masa sama, kita jemput juga pelajar tahfiz yang layak, namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan JAINJ,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri satu program di Parit Sulong, Batu Pahat.
Tiada Imam Import Dari Luar, Percaya Tenaga Tempatan

Dalam perkembangan sama, Johor mengekalkan pendirian untuk tidak menggunakan khidmat imam tarawih dari luar negeri atau luar negara.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memberi kepercayaan sepenuhnya kepada tenaga tempatan, selain membuka ruang kepada pelajar tahfiz menyerlahkan kemampuan mereka dalam memimpin solat berjemaah.
Bagi ibu bapa dan komuniti setempat, ini juga menjadi peluang terbaik untuk melihat anak-anak tahfiz yang berkelayakan tampil ke hadapan serta menimba pengalaman berharga di masjid dan surau. Sementara itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap peraturan penjualan makanan sepanjang bulan puasa.
Kerjasama akan dijalinkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga mematuhi waktu yang ditetapkan untuk menjual makanan kepada umat Islam.
Tegasnya, penguatkuasaan ini bukan bertujuan menyekat peniaga mencari rezeki, sebaliknya bagi memastikan penjualan dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan, bukan seawal waktu sarapan pagi atau di luar waktu yang dibenarkan.
Dengan pendekatan ini, Johor dilihat komited memastikan suasana Ramadan kekal tertib, teratur dan penuh keberkatan buat seluruh umat Islam di negeri itu.
Ingat…Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang memperkasa institusi masjid serta memberi ruang kepada generasi tahfiz membuktikan kemampuan mereka di saf hadapan. Selamat bertarawih!
Baca juga: Bestnya Masjid Sana Ada Aircond, Sini Tak Ada…Tapi Boleh Ke Pilih-Pilih Masjid Nak Tarawih Ni?
Sumber: BERNAMA
